7 Petugas Istana Negara positif Covid-19. Agong dan Permaisuri kuarantin diri

Istana Negara hari ini mengesahkan tujuh petugasnya positif Covid-19 dan kini menjalani rawatan di Hospital Kuala Lumpur, kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin.

Beliau berkata Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut menjalani saringan kesihatan dan pengesanan dan disahkan negatif.

“Lanjutan daripada proses saringan ini, Seri Paduka Baginda berdua sedang menjalani kuarantin diri selama 14 hari mulai semalam,” katanya.

Ahmad Fadil berkata, Al-Sultan Abdullah telah dinasihatkan tidak mengadakan pertemuan bersama Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mesyuarat mingguan Pra-Kabinet yang dijadualkan semalam dan sesi-sesi berikutnya sehingga situasi pandemik pulih.


“Seri Paduka Baginda menzahirkan sokongan kepada pengumuman awal keputusan pelanjutan Perintah Kawalan Pergerakan hingga 14 April ini. 
“Seri Paduka Baginda turut berharap semua rakyat Malaysia tabah menghadapi dugaan dan terus memberi sokongan kepada petugas-petugas kesihatan dan keselamatan,” ujarnya.
Sumber : Bernama