Baru Je Umum Semalam, Sekali Ramai Sangka Duit Akaun 1 Itu Kena Bayar Balik. Ini Penjelasan KWSP

Pengumuman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi membenarkan pengeluaran akaun 1 kepada 3 golongan paling terjejas telah dipuji ramai.

Bagaimanapun terdapat salah faham tentang berita tersebut apabila ada pihak mengatakan duit yang dikeluarkan itu perlu dibayar semula kepada KWSP.

Menjawab isu tersebut, KWSP hari ini menafikan maklumat yang tular menerusi media sosial bahawa “ahli perlu membayar balik kemudahan pendahuluan i-Sinar daripada KWSP.”

Sebaliknya menurut KWSP, amaun yang didahulukan daripada Akaun 1 itu akan diganti semula dengan caruman ahli pada masa depan.

” Penggantian semula ini akan dilakukan dengan 100 peratus caruman baharu akan dimasukkan terlebih dahulu ke Akaun 1.

” Setelah jumlah amaun yang diakses daripada i-Sinar diganti semula sepenuhnya, kadar pembahagian caruman akan kembali seperti biasa iaitu 70 peratus bagi Akaun 1 dan 30 peratus untuk Akaun 2.

” Amaun penggantian semula ini akan hanya diterima daripada caruman ahli pada masa depan dan bukannya secara bayaran tunai daripada ahli yang menggunakan kemudahan i-Sinar,” jelas KWSP dalam kenyataan di sini.

KWSP turut mengingatkan mereka yang berkenaan bahawa istilah yang tepat dalam konteks itu ialah “penggantian semula.”

” Penggunaan ayat-ayat tidak betul seperti ‘pembayaran balik’, ‘bayar semula’, ‘bayar kemudian’ dan yang seumpama menyebabkan kekeliruan kepada ramai pihak,” demikian menurut kenyataan itu.

Semalam, KWSP mengumumkan perincian dan bagi kemudahan i-Sinar yang akan memberi manfaat kepada dua juta ahlinya yang kehilangan pekerjaan, diberi cuti tanpa gaji atau ketiadaan pendapatan melibatkan anggaran dana berjumlah RM14 bilion.

” Ahli layak boleh membuat permohonan bermula Disember 2020. Amaun akan dikreditkan dalam akaun bank ahli pada hujung bulan selepas permohonan dibuat.

” Pengkreditan pertama akan bermula pada Januari 2021. Jumlah pendahuluan ini akan dikreditkan secara berkala sehingga enam bulan bermula pada tarikh pertama pengkreditan,” katanya.

Menurutnya, ahli layak boleh mengakses 10 peratus daripada amaun simpanan mereka dalam Akaun 1, namun tertakluk kepada baki minimum RM100.

a) Ahli yang mempunyai baki RM90,000 dan ke bawah (Akaun 1), akan mempunyai akses kepada amaun sehingga RM9,000. Amaun pendahuluan ini akan dikreditkan secara berkala sehingga enam (6) bulan dengan pendahuluan pertama sehingga RM4,000.

b) Ahli yang mempunyai baki lebih daripada RM90,000 (Akaun 1), akan mempunyai akses 10%. Walau bagaimanapun, amaun maksimum yang boleh didahulukan adalah RM60,000. Amaun pendahuluan ini akan dikreditkan secara berkala sehingga enam (6) bulan dengan pendahuluan pertama sehingga RM10,000.

” Maklumat lebih lanjut serta butiran terperinci mengenai kelayakan i-Sinar serta terma dan syarat akan dimaklumkan dalam masa terdekat,” katanya.