Belajar tulisan jawi: Tidak jadikan orang Cina khianati bangsanya – Lim Kit Siang

BELAJAR tulisan jawi tidak akan menyebabkan orang Cina mengkhianati bangsa, bahasa dan kebudayaan mereka.

Berkongsi kisah ketika ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri pada 1969, Veteran DAP, Lim Kit Siang berkata, beliau mempelajari tulisan tersebut dan ia tidak pun menjadikanya sebagai pengkhianat kepada bangsa sendiri sebaliknya meningkatkan jati diri sebagai rakyat Malaysia.

“Mungkin satu lagi soalan yang perlu ditanya ialah adakah orang yang belajar tulisan Jawi mengkhianati bangsa, bahasa dan budaya Cina. Bagi saya, jawapannya adalah negatif (tidak),” katanya menerusi tulisan di blog hari ini.

Sebelum ini Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan menjelaskan pengenalan tulisan khat adalah untuk memupuk gaya penulisan yang indah.

Katanya, perkara itu tiada kaitan dengan tulisan jawi dan pelajar tidak dinilai di dalam peperiksaan.

Bagaimanapun, wujud tentangan daripada pimpinan akar umbi DAP yang menggesa menteri Kabinet daripada parti itu membantah rancangan memperkenalkan tulisan khat atau seni kaligrafi dalam kurikulum tahun empat Bahasa Malaysia untuk sekolah vernakular.

Dalam kenyataan bersama, kumpulan itu berkata, pelajar sekolah vernakular setakat ini telah mempelajari tiga bahasa dan tiga sistem penulisan.

Kumpulan itu turut berkata, pihaknya mengakui tulisan khat mempunyai nilai artistik tetapi orang ramai harus digalakkan untuk menghargainya sendiri dan bukan dijadikan sebagai dasar.

Namun begitu semalam, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, keputusan kerajaan untuk memperkenalkan seni khat dan tulisan jawi adalah kekal.

Jelasnya, kerajaan selama ini tidak pernah menghalang kaum lain untuk mengamalkan penulisan bahasa ibunda masing-masing, yang menjadikan negara ini istimewa.

Mengulas lanjut, Kit Siang berkata, pada 1994, Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri ketika itu mengumumkan secara terbuka bahawa kerajaan telah meninggalkan dasar asimilasi kerana menyedari bahawa ia tidak sesuai untuk masyarakat majmuk seperti Malaysia dan integrasi perlu menjadi asas kepada proses pembinaan bangsa di negara ini.

“Tetapi selain asimilasi dan integrasi, terdapat alternatif ketiga pembinaan negara iaitu tidak ada asimilasi dan tiada integrasi, namun masyarakat yang berbeza hidup berdampingan secara berasingan dan di bawah satu sistem politik yang sama.

“Sekarang ini terdapat orang Cina yang hidup dalam komuniti kaum mereka tanpa berinteraksi dengan kaum lain. Begitu juga ada Melayu dan India. Ia bukan Malaysia yang saya usahakan,” katanya.

Menurutnya, apa yang diidamkan beliau adalah orang Melayu, Cina, India, Kadazan dan Iban keluar daripada kepompong mereka dan berinteraksi dengan komuniti lain.

“Ia bagi tujuan belajar, menghargai dan menerima bahawa Malaysia bukan hanya dikenali dengan hanya satu komuniti sahaja sebaliknya semua,” katanya.

Tambahnya, kepentingan mendesak Malaysia berkaitan dengan pendidikan adalah untuk memperkenalkan pembaharuan penilaian antarabangsa bagi pelajar Malaysia berada pada kedudukan satu pertiga daripada negara-negara dunia.

Katanya lagi, Malaysia seolah-olah terperangkap dalam situasi luar biasa yang jika tidak ditangani, ia hanya akan membawa kepada perpecahan yang lebih besar.

“Ia seolah-olah suatu kegagalan bagi memanfaatkan nilai dan kualiti terbaik daripada tamadun Islam, Cina, India dan Barat yang bertemu dalam satu pertemuan di Malaysia.

“Keadaan luar biasa ini adalah orang Melayu rasa terancam, begitu juga dengan Cina, India, Kadazan dan Iban. Isunya siapa yang mencipta semua ancaman ini kepada semua kaum di negara ini?,” soalnya.

Sumber: sinar harian

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.