‘Biasalah budak-budak, tiada dendam di hati saya’ – Warga emas maafkan pembuli

KUALA LANGAT – Seharusnya bulan Ramadan mendidik menjadi insan berguna namun berlainan pula dengan sekumpulan remaja bertindak luar batasan membuli seorang lelaki Orang Kelainan Upaya (OKU) lembam di Batu 7, Kampung Sijangkang di sini baru-baru ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang pada 7 Mei lalu, Mohd. Mudakir Abdul Wahid, 59 dibuli dengan cara diejek, menjatuhkan motosikal dan dibaling cebisan kotak kerana menegur kumpulan remaja itu supaya menunaikan solat asar.

Insiden itu bagaimanapun tular semalam di laman aplikasi WhatsApp ahli keluarga mangsa dan penduduk kampung sebelum remaja itu dicari bagi memohon maaf kepada Mohd. Mudakri yang merupakan bekas pemandu lori tersebut.

Menurut Mohd. Mudakir, niatnya hanya satu supaya kumpulan remaja tersebut menjaga tiang agama terutama pada bulan Ramadan.

Katanya, dia tidak menyangka penduduk kampung dan ahli keluarganya mencari kumpulan remaja itu susulan penularan kejadian tersebut.

“Kira-kira 1,000 penduduk berhimpun di kawasan rumah hingga di jalan kampung ini bermula pukul 11 malam tadi hingga pukul 2 pagi susulan insiden tersebut.

“Remaja tersebut pun ada datang ke rumah bersama ibu bapa mereka bagi memohon maaf dan saya maafkan mereka” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Jelas Mohd. Mudakir, sudah menjadi kelaziman kepada dirinya untuk meronda-ronda di kampung supaya mengingatkan kepada remaja-remaja yang beriadah tidak tentu hala di kampung ini untuk bersolat.

Ujarnya, dia tidak bercadang memanjangkan perkara itu sehingga membuat laporan polis kerana remaja tersebut mungkin tidak sedar gurauan mereka itu kasar sehingga menjadi tular.

“Biasalah budak-budak, tiada dendam di hati saya dan menganggap isu tersebut telah selesai,” katanya.

Sementara itu, Hairuzaman, 47, yang merupakan adik kepada Mohd. Mudakir memberitahu, amat kecewa dan terkilan terhadap kejadian menimpa abangnya itu.

Tambahnya, abangnya mempunyai masalah mental susulan kemalangan di Jalan Pelabuhan Klang di sini, 34 tahun lalu.

“Walaupun dia begitu, namun tidak pernah menganggu orang lain malah kerap berada di surau apabila tiba waktu solat.

“Kami ada tahu ada yang menyakatnya tetapi tidak seperti dilakukan oleh kumpulan remaja itu. Justeru, diharapkan perkara ini tidak berulang kembali,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman mengesahkan kejadian tersebut dengan motif remaja berkenaan adalah untuk bergurau.

“Walau bagaimanapun tingkah laku remaja-remaja itu dilihat agak keterlaluan terhadap seorang warga tua sehingga menimbulkan perasaan tidak puas hati dan marah di kalangan ahli keluarga dan penduduk kampung.

“Setakat ini, tiada laporan polis diterima mengenai perkara ini dan perkara ini diselesaikan dengan baik di peringkat kedua-dua pihak terlibat,” katanya. – K! ONLINE

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*