Darurat bukan alasan hapuskan syarat i-Sinar, kata pakar ekonomi

SHAH ALAM – Pakar ekonomi berpendapat pengisytiharan darurat bukan syarat wajib buat kerajaan menghapuskan kelulusan bersyarat i-Sinar bagi pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang memohon pakej bantuan berkenaan.

Dekan Fakulti Perniagaan dan Pengurusan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Profesor Madya Dr Ahmad Azrin Adnan berkata, apa yang boleh dilakukan adalah melonggarkan semaksimum mungkin syarat-syarat untuk permohonan i-Sinar.

“Ertinya, syarat masih ada tetapi dilonggarkan semaksimum mungkin bagi membolehkan lebih ramai pencarum yang benar-benar terdesak mendapat kelulusan segera.

“Sebagai contoh, KWSP mungkin boleh mempertimbangkan untuk mengurangkan lagi syarat peratus pengurangan pendapatan keseluruhan daripada 30 peratus kepada 20 peratus atau 10 peratus atau kadar yang lebih rendah,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Jelasnya, majoriti pencarum mahu kelulusan tanpa syarat bagi pengeluaran i-Sinar namun implikasinya KWSP mungkin terpaksa mencairkan instrumen sedia ada untuk memenuhi tuntutan pencarum.

“Tindakan ini boleh mendedahkan risiko kerugian besar di pihak KWSP yang bertindak bagi pihak pencarum. Sebarang kerugian yang dialami oleh KWSP bermakna kerugian kepada pihak pencarum. Apatah lagi ia adalah wang simpanan pencarum untuk dimanfaatkan selepas bersara kelak,” katanya.

“Tindakan ini boleh mendedahkan risiko kerugian besar di pihak KWSP yang bertindak bagi pihak pencarum. Sebarang kerugian yang dialami oleh KWSP bermakna kerugian kepada pihak pencarum. Apatah lagi ia adalah wang simpanan pencarum untuk dimanfaatkan selepas bersara kelak,” katanya.

Bagi Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Islam, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, beliau berpendapat, sebarang bentuk bantuan yang ditawarkan bagi meringankan beban ekonomi rakyat seperti pengeluaran i-Sinar haruslah secara bersasar.

Tambah Mohd Afzanizam, sekiranya kelulusan pengeluaran i-Sinar diberikan tanpa sebarang syarat dikhuatiri akan menimbulkan masalah kerana aspek literasi kewangan atau celik kewangan dalam kalangan masyarakat negara ini masih rendah.

“Sekiranya KWSP menggunakan budi bicara untuk melonggarkan syarat-syarat pengeluaran keutamaan harus diberikan kepada pencarum yang benar-benar memerlukan misalnya pencarum daripada sektor-sektor pekerjaan yang terjejas teruk akibat pandemik dan sebagainya,” ujarnya.

“Jika tidak ditakuti akan berlaku pembaziran atau lebih teruk terjebak dalam skim cepat kaya dan sebagainya serta akan menjejaskan masa depan pencarum.

“Sama juga untuk isu moratorium, harus disasarkan untuk golongan yang memang tiada sumber kewangan untuk melangsaikan hutang sebaliknya untuk mereka yang masih mampu adalah lebih baik untuk melangsaikan hutang tepat pada waktunya,” katanya.

Penganalisis EMIR Research, Sofea Azahar pula berkata, kelulusan i-Sinar bersyarat untuk rakyat yang terjejas daripada segi pendapatan atau pekerjaan amat dialu-alukan tetapi pengeluaran tanpa syarat tidak seharusnya menjadi jalan penyelesaian untuk jangka masa panjang kerana ahli KWSP masih memerlukan simpanan untuk hari-hari yang mendatang.

“Purata jangka hayat rakyat Malaysia sudah mencecah 75 tahun, yang juga bermaksud bahawa secara purata, rakyat perlu bersedia untuk waktu persaraan terutamanya untuk kos perubatan dan keperluan harian.

“Syarat pengeluaran semasa dan kesan inisiatif ini ke atas ahli-ahli KWSP harus dipantau dari masa ke masa. Kadar caruman minimum KWSP pekerja juga sudah dikurangkan kepada 9 peratus daripada 11 peratus secara automatik,” katanya.

Cuma beliau berkata, kerajaan boleh mempertimbangkan lanjutan atau menambahbaik inisiatif sedia ada dalam Belanjawan 2021 seperti Program Subsidi Upah untuk para pekerja dalam sektor yang terjejas teruk yang akan berakhir pada bulan Mac tahun ini, Bantuan Bayaran Pembiayaan Bersasar kepada peminjam kategori B40 dan perusahaan mikro yang telah berakhir pada bulan Disember 2020.

“Menteri Kewangan juga telah menyatakan bahawa Malaysia mempunyai kecairan domestik yang mencukupi bagi rangsangan fiskal tambahan untuk menyokong kehidupan, mata pencarian dan perniagaan sekiranya perlu dilaksanakan dalam tempoh darurat dan PKP.

“Kerajaan juga akan terus melancarkan inisiatif-inisiatif Belanjawan 2021 untuk memperkukuh proses pemulihan rakyat dan ekonomi negara. Ini bermakna rakyat boleh menikmati bantuan-bantuan yang disajikan dalam belanjawan dalam masa yang terdekat,” katanya.