Enggan susahkan mak ayah, pelajar cemerlang ini tolak tawaran ke SBP

“SAYA tolak tawaran belajar di Kolej Tunku Kurshiah (TKC) kerana bimbang dengan kemampuan kewangan ibu dan ayah yang hidup serba kekurangan,” ujar pelajar, Noor Areesya Redza Redzuan, 13.

Dia yang mendapat keputusan cemerlang 6A pada Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun lalu itu menerima tawaran melanjutkan pelajaran ke Tingkatan Satu di TKC tahun ini.

Bagaimanapun, bekas murid Sekolah Kebangsaan Senawang 3 itu menolak tawaran berkenaan ketika menghadiri temuduga baru-baru ini, berikutan kebimbangan terhadap kemampuan kewangan keluarga selain tidak mahu menyusahkan kedua-dua ibu dan bapanya.

Dia yang kini meneruskan persekolahan Tingkatan Satu di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Pagi Senawang, mengakui bimbang menyusahkan kedua orang tuanya.

“Saya ambil keputusan menolak tawaran TKC itu kerana tidak mahu menyusahkan ibu dan bapa,” katanya ketika ditemui di kediaman keluarganya di Taman Desa Ixora Senawang, di Seremban, hari ini.

Keluarga terbabit dikunjungi Ketua Pemuda Amanah Negeri Sembilan Mohd Hanis Alimin, yang turut menyampaikan sumbangan bagi meringankan beban mereka.

Bapa pelajar itu, Redzuan Mansor, 57, berkata, dia kini bergantung sumber pendapatan menjual nasi lemak dan kuih muih di tepi jalan utama taman berkenaan manakala isterinya, Norafiza Abd Hamid, 51, bekerja sebagai pencuci di sebuah institusi kewangan di Senawang.

Menurutnya, dia mengharapkan anak bongsunya itu dapat meneruskan pelajaran ke Tingkatan Satu disekolah berasrama penuh (SBP).

“Memang saya mengharap dia dapat belajar di SBP kerana keputusan UPSR 2019 yang dia perolehi amat baik.

“Saya pun tidak sangka dia sendiri menolak tawaran itu. Saya sedar dengan sikapnya yang tidak mahu membebankan keluarga,” katanya yang akui anaknya itu seorang yang rajin belajar.

Sementara itu, Mohd Hanis, berkata pihaknya akan membantu keluarga terbabit termasuk mendapatkan peluang bagi Noor Areesya meneruskan persekolahan di SBP.

Beliau berkata, pelajar terbabit seorang yang berpotensi untuk terus cemerlang dalam pelajaran.

“Kami akan cuba bantu keluarga ini khususnya remaja ini jika dia ingin meneruskan pelajaran di sekolah berasrama penuh.

“Saya fikir soal kos tidak menjadi isu kerana SBP adalah sekolah bantuan kerajaan,” katanya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.