‘Habis gerai peniaga Melayu dikerjakan gengster…’

SEORANG wanita dan anak lelakinya yang berusia tiga tahun trauma selepas gerai nasi lemak yang diusahakan bersama suaminya di Sunway Kayangan, Shah Alam, diserang seorang lelaki, semalam.

Bagaimanapun, wanita itu, Nur Anis Jamil, 29, dan anak lelakinya yang berusia tiga tahun tidak mengalami kecederaan selepas lelaki terbabit menendang dan menolak meja di gerai berkenaan dalam kejadian pada jam 9.45 pagi itu.

Akibat perbuatan lelaki itu, kanak-kanak berkenaan hampir terkena air panas yang tertumpah manakala wanita itu mengalami sesak dada akibat penyakit jantung dihidapinya.

Suami wanita itu, Muhammad Zamyn Abdullah, 30, berkata, ketika kejadian beliau berada di rumah di kawasan berdekatan untuk memandikan anak sulungnya yang berusia enam tahun.

“Tidak lama kemudian, saya menerima mesej WhatsApp daripada seorang pemilik kedai berdekatan memaklumkan mengenai kejadian itu dan bergegas ke lokasi berkenaan.

“Setibanya di lokasi, saya terkejut melihat keadaan gerai yang bersepah selain isteri dan anak yang trauma. Ketika kejadian, adik lelaki saya berusia 23 tahun turut berada di situ dan tidak mengalami kecederaan,” katanya.

Beliau berkata, perbuatan itu dipercayai dilakukan seorang lelaki berusia lingkungan 30-an yang menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda.

“Kenderaan itu dinaiki dua lelaki dan seorang daripadanya mendekati ahli keluarga saya.

“Lelaki berkenaan dikatakan memarahi isteri dan adik saya kerana berniaga di situ sebelum bertindak menendang gerai yang diusahakan sejak hujung tahun lalu itu. Ia berlaku selama lima minit sebelum lelaki itu beredar,” katanya.

Bimbang perkara buruk berlaku, Muhammad Zamyn membuat laporan polis di Balai Polis Bukit Jelutong untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, perkara itu diserahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan dan tidak mahu bersangka buruk kepada mana-mana pihak.

“Kami berniaga di situ atas permintaan penduduk setempat dan mereka sentiasa memberi sokongan. Kami akan terus berniaga kerana ia sumber pendapatan rezeki keluarga.

“Kami tidak mahu bermusuhan dengan sesiapa dan cuma berniaga untuk mencari rezeki,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib mengesahkan kejadian itu dan siasatan lanjut masih dijalankan pihaknya.

Sumber: kulihatlangitbiru

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.