Haram ambil barang, makanan dari kenderaan terbalik – Mufti Selangor

SHAH ALAM – Orang ramai khususnya umat Islam diingatkan supaya tidak mengambil apa-apa barangan termasuklah makanan dari kenderaan yang terlibat dalam kemalangan.

Perkara itu ditegaskan Mufti Selangor, Datuk Mohd. Tamyes Abd. Wahid yang menjelaskan, perbuatan sedemikian tidak boleh dilakukan sama sekali dan hukumnya adalah haram sekiranya barangan tersebut diambil tanpa kebenaran oleh pemiliknya.

“Haram tetap haram, kenderaan yang membawa muatan barangan atau makanan terlibat dalam kemalangan itu ada pemiliknya. Pemandu kenderaan yang membawa muatan tersebut itu adalah pemegang amanah.

“Maka, mana-mana pihak tidak boleh sewenang-wenangnya mengambil apa-apa barangan atau makanan daripada kenderaan yang terlibat dalam kemalangan sama ada barangan itu kecil atau besar tanpa kebenaran pemiliknya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohd. Tamyes berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penyebaran gambar sebuah lori yang membawa muatan bahan makanan terbalik di Jalan Klang-Teluk Intan menerusi media sosial.

Gambar tersebut turut menunjukkan penduduk kampung di kawasan kejadian mengambil barangan terbabit secara beramai-ramai sehingga menjadi isu perdebatan dalam kalangan pengguna media sosial melibatkan soal hukum halal dan haram.

Dalam pada itu, Mohd. Tamyes sebaliknya mengingatkan orang ramai khususnya umat Islam supaya mengambil tanggungjawab membantu mana-mana pemandu kenderaan yang terbabit dalam kemalangan selain bersama-sama melindungi barangan yang dibawa oleh kenderaan terlibat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Ruslan Abdullah mengesahkan kejadian kemalangan tersebut berlaku kira-kira pukul 5.10 pagi ini di Kilometer 37.5 Jalan Klang-Teluk Intan melibatkan sebuah treler yang membawa muatan minuman Vico.

Berdasarkan siasatan awal, treler tersebut terbabas dengan sendiri sebelum terbalik di lokasi kejadian sehingga melintangi laluan berkenaan manakala muatan yang dibawa bertaburan di atas jalan raya.

“Pemandu lori terbabit mengalami kecederaan di bahagian kepala manakala kelindan mengalami bengkak di bahagian kaki kanan,” jelasnya.

Pada masa sama, Ruslan menegaskan, pihaknya dimaklumkan tiada sebarang kebenaran diberi sama ada oleh pihak syarikat serta pemandu lori berkenaan kepada orang awam untuk mengambil muatan minuman tersebut semasa kejadian berlaku.

“Disebabkan muatan barang telah berselerak di atas jalan, dalam longkang dan ladang kelapa sawit berdekatan, orang ramai yang datang berkerumun dan tidak dapat dikawal, telah mengambil muatan daripada kenderaan terbabit,” ujarnya.

Sumber: cempedakcheese

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.