Hina Jalur Gemilang, Pakar Sejarah Kata Lebih Baik Buang Saja Status Kewarganegaraan Mereka

Sesiapa sahaja yang tidak menghormati Jalur Gemilang wajar dilucutkan kerakyatan kerana tindakan tersebut boleh dianggap sebagai suatu penghinaan kepada maruah bendera negara.

Menurut laporan Sinar Harian, Profesor Datuk Dr Ramlah Adam yang juga merupakan seorang pakar sejarah menyatakan bahawa individu tersebut tidak layak untuk menjadi rakyat Malaysia.

”Lebih baik buang saja status kewarganegaraan yang mereka miliki,” kata beliau ketika mengulas insiden kesilapan bendera Malaysia di Kejohanan Kebangsaan Bola Keranjang Piala Lum Mun Chak Bawah 15 Ke-28 di Stadium Hang Jebat.

Dr Ramlah menegaskan bahawa, tindakan tersebut dilihat seperti sengaja mencabar kedaulatan negara serta individu yang bertanggungjawab itu boleh dilabel sebagai pengkhianat negara.

Menurutnya lagi, perbuatan tersebut seolah-olah sengaja dilakukan oleh pihak tertentu untuk mencabar prinsip Rukun Negara serta untuk mencabar kuasa Yang di-Pertuan Agong.

Beliau turut berharap agar pihak berkuasa dapat mengenakan tindakan undang-undang yang sewajarnya ke atas individu yang bertanggungjawab demi menjaga keharmonian dan nama baik negara.

Berikutan daripada insiden kesilapan memaparkan bendera Malaysia dengan lima bucu bintang pada skrin ketika sedang bersiaran langsung itu, pihak Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) pada semalam telah memohon maaf serta bertanggungjawab sepenuhnya dalam hal yang terjadi itu.

Pihak MABA menyatakan bahawa kejadian tersebut adalah suatu perkara yang tidak disengajakan dan kontraktor produksi siaran langsung yang bertanggungjawab dalam insiden itu telah pun ditamatkan perkhidmatannya serta-merta.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.