‘Hukuman rotan adalah tidak dibenarkan untuk murid perempuan’ – Timbalan Menteri Pendidikan

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching menjelaskan, guru tidak wajar merotan pelajar perempuan terutamanya di bahagian badan yang tidak sepatutnya. Beliau berkata, larangan itu tertakluk pada ketetapan yang dibuat Kementerian Pendidikan menerusi garis panduan dalam pengurusan disiplin dan kuasa merotan murid di dalam Peraturan 5, Ordinan Pelajaran 1957.

“Hukuman rotan adalah tidak dibenarkan untuk murid perempuan dan hukuman kepada murid lelaki adalah dihadkan kepada merotan dengan rotan yang ringan di tapak tangan atau di punggung yang berlapik dengan pakaian di bawah kuasa guru besar,” katanya.

Teo Nie Ching berkata demikian ketika ditanya oleh wartawan Astro Awani mengenai video viral seorang guru lelaki merotan pelajar perempuan kerana memanggilnya ‘ah qua lao shi’ (cikgu pondan) tanpa sebab.

Dalam pada itu, Nie Ching berkata, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Johor Bahru dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor sedang menjalankan siasatan mengenai kes itu dengan kerjasama pihak polis.

Beliau yakin kes itu dapat diselesaikan dengan cara baik dan memohon semua pihak bertenang dan memberi ruang kepada dua pihak berkenaan untuk menjalankan siasatan.

Sementara itu, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, mengarahkan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Johor Bahru menjalankan siasatan terhadap video viral pelajar perempuan dirotan guru di lengan dan paha dalam kejadian yang berlaku di sebuah sekolah menengah kebangsaan di Johor Bahru.

Beliau berkata, siasatan itu bagi memberi keadilan kepada kedua-dua pihak.

Maszlee difahamkan, guru terbabit merotan pelajar perempuan itu kerana menegurnya sebagai cikgu pondan.

Guru itu merotan pelajar perempuan kerana menegur beliau dengan ayat ‘ah qua lao shi’ (cikgu pondan) ketika guru berkenaan lalu di koridor tanpa sebab.

Sehingga kini, laporan yang saya terima dari PPD Johor Bahru, siasatan sudah mula dijalankan. PPD juga akan mengadakan perjumpaan dengan ibu bapa murid berkenaan.

“Masyarakat di luar diingatkan berhenti menular video dan gambar berkaitan kes itu. Ia perlu demi menjaga imej guru dan murid terbabit dan seterusnya memberi ruang kepada PPD Johor Bahru dan pihak terbabit menjalankan tugas dan siasatan sebaik mungkin.

Dalam masa sama, saya ingin menegaskan sebarang bentuk kekerasan ke atas murid haruslah ditolak sama sekali,” katanya yang turut berharap perkara itu dapat diselesaikan mengikut tatacara dan prosedur operasi standard (SOP) dalam masa terdekat.

Sumber: mymediahub

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.