Identiti Asri Janggut B0cor, Ketua Polis Johor Tampil Bersuara. Ini Peringatan Dari Beliau

JOHOR BAHRU: Semua anggota dan pegawai polis Kontinjen Johor diingatkan supaya tidak sesekali membocorkan maklumat yang disalurkan orang awam.

Sebaliknya anggota dan pegawai perlu melindungi orang awam yang menyalurkan maklumat itu.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, anggota atau pegawai yang cuba mendedahkan identiti maklumat peribadi orang awam boleh berdepan dengan tindakan tatatertib.

“Kalaulah ada kebocoran di pihak saya, yang pasti saya akan ambil tindakan dan saya telahpun mengambil tindakan kepada anggota dan pegawai polis yang terlibat dalam membocorkan rahsia.

“Kalau tengok dalam konteks Op Benteng, 14 pegawai dan anggota polis saya tangkap dan ada anggota polis Muar kita tangkap kerana bersekongkol dalam (sindiket) penyeludupan syabu… jadi tindakan saya dah ambil.

“Saya nak bagi amaran pada semua pegawai dan anggota polis Kontinjen Johor, kalau ada bukti mereka sekongkol bocorkan maklumat salurkan orang awam, tindakan tegas akan diambil,” ujar beliau.

Tambahnya, PDRM Johor tidak akan bertolak ansur pada mana-mana anggota mahupun pegawainya yang melanggar integriti kepolisian.

Beliau berkata demikian selepas mengetuai operasi pemantauan pusat hiburan sekitar Johor Bahru dan Seri Alam awal pagi tadi, bagi memastikan pusat hiburan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Seramai 68 individu telah diperiksa di tiga premis pusat hiburan di sekitar Johor Jaya dan pusat bandar raya.

Daripada jumlah itu, seorang individu yang juga merupakan pemilik premis dikenakan tindakan di bawah seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 kerana mengajikan warga asing tanpa permit dan Seksyen 6 (2) Enakmen Negeri Johor.

“Asri janggut pemberi maklumat, bukan suspek”-Ketua Polis Selangor

SHAH ALAM – Polis tidak akan memanggil pemilik dan pengasas Hot Burger, Mohd Asri Hamid atau lebih dikenali sebagai Asri Janggut berhubung dakwaan yang dibuatnya pada Sabtu lalu mengenai kegiatan premis perjudian dan penjualan rokok seludup di Sungai Buloh, Selangor.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, Asri merupakan pemberi maklumat bukannya suspek yang memerlukan pihak polis merakamkan keterangannya.

“Saya telah arahkan polis Sungai Buloh tidak memanggil dia (Asri) kerana dia adalah pemberi maklumat. Bagi saya, sesiapa yang hendak buat laporan pun buatlah. Dia bukan orang kena tuduh mahu pun suspek, kita kena layan dia sebagai pemberi maklumat.

“Tapi sayang, dia telah mendedahkan dirinya sebagai pemberi maklumat dan sepatutnya pemberi maklumat ini tidak mendedahkan dirinya dan sepatutnya usah mendedahkan identiti,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Noor Azam berkata, pemberi maklumat adalah sulit kerana sekiranya terdedah ia boleh mengundang masalah.

Selain itu, beliau turut meminta orang awam yang ada maklumat berkenaan salah laku pegawai atau anggotanya agar salurkan kepada pihaknya dengan bukti yang jelas untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, sekiranya ia berkaitan dengan rasuah, boleh laporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Berikut pula reaksi dari netizan yang hairan bagaimana identiti Asri Janggut boleh boc0r.

‘Ayahanda kawasan’ tak puas hati Asri viral pusat judi

SUNGAI BULOH: Pengusaha Hot Burger Malaysia, Mohd Asri Hamid, 42, mendakwa ada individu mengaku sebagai ‘Ayahanda’ menghubungi beliau menyatakan rasa tidak puas hati dengan tindakannya membuat pendedahan mengenai kegiatan judi sekitar Bandar Baru Sungai Buloh, kelmarin.

Beliau berkata, individu berkenaan menghubunginya menerusi panggilan telefon bimbit, semalam.

“Individu berkenaan memberitahu dia tidak berpuas hati dengan tindakan saya mendedahkan mengenai kegiatan judi di kawasan ini dan menyatakan tindakan saya itu adalah salah, namun tiada ugutan diterima.

“Saya sudah merujuk perkara itu kepada polis ketika perjumpaan dengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, pagi tadi dan beliau memaklumkan akan melakukan siasatan,” katanya ditemui media selepas tinjauan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin di sini, hari ini.

Ketika tinjauan itu, Mohd Asri menunjukkan lokasi yang didakwanya dijadikan sebagai premis judi dan rokok seludup di kawasan berkenaan.

Kelmarin, Mohd Asri membuat tiga siaran langsung menerusi akaun Facebook Hot Burger Malaysia dengan mendakwa wujud beberapa premis judi serta gerai peniaga warga Indonesia keturunan Aceh yang menjual rokok seludup di sekitar Bandar Baru Sungai Buloh.

Mohd Asri berkata, setakat ini tidak menerima sebarang ugutan berhubung pendedahan itu.

“Mungkin hari ini tiada apa-apa yang berlaku, namun bahaya itu akan datang kemudian kerana ketika ini isu masih ‘panas’.

“Saya percaya selepas perkara ini reda, pastinya ada risiko kerana mesti ada yang berdendam kepada saya. Saya serahkan semuanya kepada Allah SWT,” katanya.

Ditanya mengenai perjumpaannya bersama Ketua Polis Negara, beliau berkata, pertemuan itu diadakan empat mata.

“Abdul Hamid mengucapkan terima kasih kerana membantu menyalurkan maklumat kepada polis dan meminta saya menceritakan mengenai perkara yang berlaku.

“Dalam perjumpaan itu juga, Abdul Hamid memberikan kata-kata semangat kepada saya supaya tidak takut dalam mendedahkan perkara itu.

“Malah, Ketua Polis Negara juga memaklumkan akan membanteras kegiatan judi kerana beliau juga tidak suka aktiviti itu berleluasa di negara ini,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Asri berkata, beliau sudah dihubungi pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh, semalam, untuk diambil keterangan berkaitan laporan polis dibuat terhadapnya mengenai pendedahan itu.

“Saya sudah memaklumkan kepada polis (IPD Sungai Buloh) akan tampil ke balai bersama peguam dalam masa terdekat untuk membantu siasatan.

“Persoalan sama ada saya akan ditahan atau tidak selepas mengambil keterangan nanti, itu saya tidak tahu. Namun, saya akan memberikan kerjasama sepenuhnya,” katanya.

Beliau turut memaklumkan telefon bimbit miliknya diserahkan kepada Bukit Aman untuk siasatan lanjut.

Katanya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) menjadi agensi pertama menghubungi beliau berkaitan pendedahannya.

Namun, katanya sehingga hari ini beliau belum dihubungi Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Cemburu bila kami kena tindakan, orang lain tidak – Asri Janggut

“SAYA tidak menjangkakan pendedahan ini akan menjadi perkara besar hingga menjadi berita gempar di seluruh negara,” kata pengusaha Hot Burger Malaysia, Mohd Asri Hamid.

Kelmarin, Mohd Asri, 42, membuat tiga siaran langsung di akaun Facebook Hot Burger Malaysia dengan mendakwa wujud beberapa premis judi serta gerai peniaga warga Indonesia keturunan Aceh yang menjual rokok seludup di sekitar Jalan Besar Bandar Baru Sungai Buloh.

Mohd Asri berkata, pendedahan itu tidak dirancang, tetapi dibuat kerana rasa ‘cemburu’ terhadap tindakan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang dilihat berat sebelah.

“Saya akui ada melakukan kesilapan apabila membuat siaran langsung itu, tetapi ia dibuat kerana rasa cemburu dan rasa tidak puas hati kerana hanya kami yang diambil tindakan, tetapi tidak premis judi.

“Apabila pendedahan itu menjadi tular, ia mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk Ketua Polis Negara dan Menteri Dalam Negeri yang mahu untuk berjumpa saya untuk mengetahui perkara ini.

“Apa yang berlaku ini adalah lonjakan luar biasa dalam mendedahkan kegiatan judi. Mungkin dengan tindakan ini (tular) ia boleh mendorong kegiatan perjudian ini pupus di negara ini.

“Saya berterima kasih kepada semua pihak prihatin terhadap isu judi di kawasan ini serta memberi sokongan kepada saya selepas apa yang berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Jalan Besar Bandar Baru Sungai Buloh ketika hadir bersama Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin untuk meninjau lokasi dipercayai dijadikan sebagai premis judi di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, Mohd Asri berkata, tindakan beliau mendedahkan perkara itu mengakibatkan hubungan beliau dengan penjaja lain di kawasan berkenaan menjadi renggang.

“Tidak dapat dinafikan ada penjaja marah terhadap saya kerana mereka tidak dibenarkan berniaga oleh pihak MBSA selepas pendedahan itu.

“Malah, ada penjaja memaklumkan mereka turut dikenakan kompaun atas pelbagai kesalahan dalam operasi dilakukan pihak MBSA pagi tadi.

“Dalam perkara ini, saya mohon maaf kepada semua penjaja terjejas dan tidak dapat berniaga kerana pendedahan itu sama sekali tidak dirancang.

“Saya harap pihak MBSA membenarkan penjaja di kawasan itu untuk berniaga semula seperti biasa,” katanya yang memaklumkan tiada wakil MBSA menghubunginya berhubung perkara terbabit.