Jaga Jaga Yang Berhimpun Semalam, Ini Kenyataan PDRM Dan Tindakan Yang Akan Diambil Untuk Kesan Mereka

KUALA LUMPUR: Polis akan mengesan mereka yang berhimpun di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur semasa keputusan perbicaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam menerusi kamera litar tertutup (CCTV).

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor, berkata ketika ini pihaknya sedang meneliti kesalahan berhimpun itu mengikut Akta Perhimpunan Aman dan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Mazlan berkata, tindakan mereka berhimpun mengingkari arahan yang sudah ditetapkan berdasarkan siri perbincangan sebelum ini antara Ketua Polis Daerah Sentul dan penganjur perhimpunan minggu lalu.

Kredit BHOnline

Katanya, antara perkara utama yang dibincangkan dalam pertemuan itu adalah kewajiban menjaga jarak khususnya sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) masih berlangsung.

“Kita sampaikan kepada mereka apa yang perlu dilaksanakan dan saya percaya masyarakat sendiri sepatutnya sedar mengenai C0VID-19 yang masih menular di dalam negara. Kami benar mereka datang tetapi perlu menjaga diri masing-masing.

“Tetapi sebaliknya berlaku dan apa yang dinyatakan dalam pertemuan itu tidak berlaku,” katanya kepada pemberita selepas perasmian Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, pagi tadi.

Turut hadir, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed.

Justeru Mazlan berkata, penganjur perhimpunan akan dipanggil membantu siasatan kerana ingkar arahan yang sudah diberikan pihak berkuasa.

“Kita hanya menjangkakan seramai 800 ke 900 orang sahaja yang akan hadir tetapi lebih yang datang,” katanya.

Ditanya mengapa tindakan tidak dilakukan segera oleh polis ketika di Kompleks Mahkamah semalam, Mazlan menjelaskan, mereka tidak mahu mengeruhkan keadaan kerana nasihat serta amaran sudah diberikan.

“Nasihat sudah dilakukan dan amaran juga sudah diberikan… pun begitu mungkin kerana keghairahan mereka yang hadir ia tidak diendahkan.

“Kenapa mahu undang masalah, kerajaan juga sudah berkali-kali memberi amaran dan nasihat. Ini (situasi perhimpunan) bukan kita jaga kita lagi… akhirnya pihak polis yang dipersalahkan,” katanya.

Kredit BHOnline

Tambah Mazlan, laporan polis sudah dilakukan oleh orang awam dan siasatan berhubung perkara berkenaan juga sudah dijalankan.

Perhimpunan menyokong Najib semalam mengejutkan rakyat Malaysia yang bimbang penularan C0VID-19 akan berlaku dalam kalangan mereka yang hadir berikutan tiada penjarakan sosial selain ribuan yang hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur itu dilihat tidak mengendahkan arahan yang ditetapkan.

Sumber: BHOnline via onlinemalaya