JKNS Sahkan Dua Murid Sekolah Rendah Positif Cov-19

KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) mengesahkan terdapat dua murid sekolah rendah disahkan positif Cov-19 pada Isnin.

Rakan sekelas dan keluarga pesakit juga telah diperintahkan untuk menjalani kuarantin.

Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Christina Rundi berkata, kesemua kontak kepada murid sekolah itu telah diarahkan untuk menjalani kuarantin selama 14 hari.

Pada Isnin, terdapat mesej tular di media sosial menyatakan terdapat murid sebuah sekolah di Inanam dikesan positif Cov-19.

Kedua-dua murid itu dikesan positif apabila mereka mendapatkan rawatan kesihatan di klinik kesihatan berhampiran.

Difahamkan JKNS turut mengadakan ujian Cov-19 ke atas 37 orang lagi rakan sekelas murid berkenaan serta kepada ibu bapa dan lapan guru yang merupakan kontak kepada kedua-dua pesakit.

Atas sebab itu, Christina mengingatkan ibu bapa agar tidak menghantar anak-anak ke sekolah sekiranya mereka mempunyai gejala demam. Sebaliknya, bawa anak-anak ke klinik kesihatan bagi mendapatkan rawatan.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan pelajar mematuhi penjarakan sosial dan memakai pelitup muka serta rajin mencuci tangan dengan sabun.

Sumber- Borneo Today