Kecoh campak air zam zam di KLIA, Ini Tindakan Yang Di Ambil Terhadap Kakitangan Berkenaan

MEDIA sosial dikejutkan dengan klip video yang memaparkan kakitangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mencampakkan kotak mengandungi air zam zam milik jemaah yang pulang menunaikan umrah.

Rakaman berdurasi 12 saat itu tular menerusi perkongsian di Facebook milik Zahari Basaruddin pada malam Rabu.

Namun tindakan mencampak air zam zam tersebut bukan dilakukan oleh kakitangan KLIA, sebaliknya pekerja Pos Aviation Sdn Bhd, anak syarikat Pos Malaysia Berhad.

Menerusi kenyataan Pos Malaysia pada lewat petang Khamis, ia merujuk kepada video perlakuan kakitangannya yang secara kasar mengalihkan kotak barangan dari karusel bagasi di KLIA, sebagaimana yang tular di media sosial.

Pos Malaysia memberitahu, siasatan awal mendapati punca utama insiden disebabkan kesesakan teruk di bahagian karusel bagasi.

“Perlakuan tersebut sebenarnya dibuat bagi mempercepatkan proses muat turun kotak tersebut.

“Bagaimanapun, kakitangan tersebut telah digantung tugas, dan kami memohon maaf di atas kejadian terpencil tersebut,” menurut kenyataan itu.h

Pos Malaysia menjelaskan bahawa anak syarikatnya mengambil berat mengenai pengendalian barangan milik pelanggan dan tindakan susulan akan diambil setelah siasatan selesai dijalankan.

“Pos Aviation akan memastikan kualiti perkhidmatan berada di tahap tertinggi dari segi kerja, etika profesional dan khidmat pelanggan yang dituntut dalam industri,” jelasnya.

Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) selaku pengendali KLIA turut berkongsi kenyataan Pos Malaysia berhubung video kakitangan mencampak kotak berisi air zam zam, di halaman rasmi Facebooknya.

Menerusi perkongsian di Facebook, Zahari mengatakan tindakan kakitangan mencampak air zam-zam ke lantai tanpa rasa segan dan hormat di khalayak umum.

“Kejadian hari ini di KLIA. Penat macam mana sekali pun tak wajar tunjuk marah begitu rupa dengan melemparkan air zam zam milik jemaah umrah ke lantai tanpa rasa segan dan hormat.

“Malah tindakan itu juga dilakukan di khalayak umum. Kita tak bermaksud nak hukum kakitangan tersebut tapi jelas perbuatannya menyalahi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya, sehingga menimbulkan kemarahan netizen berhubung tindakan kakitangan tersebut.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.