Mini Cooper RM4500 Je? Ini Senarai Kereta Lelong JPJ Serendah RM300, Pada Ogos Nanti

Korang yang tengah nak cari kereta lain, atau sesiapa yang baru nak pakai first car, boleh lah ke JPJ Bukit Katil pada 15 Ogos ini sebab mereka ada buat lelongan kereta dengan harga murah!

Sebuah Mini Cooper antara 87 kenderaan disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri untuk lelongan umum di JPJ Bukit Katil di sini pada 15 Ogos ini.

Pengarah JPJ Melaka, Muhammad Firdaus Shariff, berkata proses lelongan 84 kereta, dua van dan sebuah lori itu akan bermula jam 9.30 pagi.

Antara kenderaan terbabit, katanya, adalah sebuah Mini Cooper keluaran 2005 sebagai kenderaan yang tidak boleh daftar (scrap) pada harga bidaan bermula RM4,500.

“Semua kenderaan yang akan dilelong ini disita sejak 2014, sama ada ketika operasi JPJ, pemilik menyerah diri atau ditahan ketika di jalan raya.

“Bagaimanapun daripada 87 kenderaan yang akan dilelong termasuk 79 kenderaan klon, enam dikategorikan sebagai tidak boleh daftar termasuk Mini Cooper berkenaan,” katanya pada sidang media di pejabat JPJ Melaka di Bukit Katil, hari ini.

Beliau berkata, kenderaan lain dalam senarai untuk lelongan adalah BMW, Subaru Impreza, Honda Stream, Honda Jazz, Honda Accord dan Toyota Wish.

Katanya, harga rizab paling rendah bagi kenderaan yang boleh daftar adalah Proton Saga keluaran 1998 pada harga RM450, manakala paling tinggi adalah Honda Accord keluaran 2005 berharga RM19,500.

“Bagi kenderaan tidak boleh daftar pula, harga rizab paling rendah adalah RM300 untuk PERODUA Kancil dan tertinggi RM12,000 bagi Honda Odyssey.

“Nilai bidaan minimum bagi setiap kenderaan adalah RM100 dan pembida yang berminat perlu membeli naskhah dokumen lelongan dari kami pada harga RM100,” katanya.

Tarikh akhir jualan dokumen lelong yang hanya boleh dibeli secara tunai adalah sehingga jam 4 petang, 13 Ogos.

Semua kenderaan akan dipamerkan untuk pemeriksaan awam pada 8 dan 9 Ogos bermula jam 9 pagi hingga 4 petang.

“Pembida yang berminat boleh membawa salinan kad pengenalan dan dikehendaki membayar deposit RM2,000 secara tunai sewaktu pendaftaran.

“Wang terbabit akan dikembalikan sekiranya bidaan tidak berjaya, tetapi akan ditolak daripada nilai bidaan sekiranya berjaya membuat bidaan,” katanya.

Sumber: bharian

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*