‘Najib dah didapati bersalah, cari generasi baru pimpin Umno’ – KJ bersuara lagi

Ahli Parlimen Rembah Khairy Jamaluddin mengulang kenyataannya sebelum ini bahawa mesejnya tidak boleh dinafikan yang Umno perlu bergerak ke hadapan.

Menteri sains, teknologi dan inovasi itu dipetik Astro Awani berkata masih ada yang mahu bekas perdana menteri Najib Razak kembali menerajui parti sebagai presiden Umno, walaupun beliau sudah didapati bersalah di mahkamah

“Saya cakap benda yang menjadi rahsia terbuka sekarang ini. Masih ada yang berharap Datuk Seri Najib kembali sebagai Presiden Umno.

“Ini yang saya maksudkan. Mereka tak nak cakap benda ini, tapi saya terpaksa cakap. Bagi saya, kita perlu bergerak ke hadapan. Cari generasi baru untuk memimpin Umno,” katanya.

Khairy berkata kenyataannya sebelum ini mengulas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mensabitkan Najib bersalah atas tiga pertuduhan berkaitan dana RM42 juta dari SRC International Sdn Bhd.

Jelasnya hari ini, beliau tidak berniat untuk “biadap terhadap Datuk Seri Najib” dengan kenyataannya sebelum ini bahawa “Umno perlu bergerak ke hadapan.”

“(Kita perlukan) yang boleh mengambil alih, yang boleh diberikan masa sekarang untuk membuat perancangan, untuk lima hingga 10 tahun akan datang. Itu maksud saya.

“Tengku Razaleigh cakap benda yang sama. Tetapi mungkin kerana Tengku Razaleigh adalah negarawan yang senior, tiada siapa yang berani untuk tegur, atau perli beliau.

“Bukan hendak samakan saya dengan Tengku Razaleigh. Tetapi oleh kerana saya ialah KJ, nakal… semua saya kena kecam, dan saya kena kritik terutamanya orang orang kuat Datuk Seri Najib, dan mereka telah tembak messenger (kill the messenger),” katanya lagi.

Khairy yang juga bekas ketua pemuda Umno berkata parti itu masih kukuh di bawah kepimpinan Presidennya Ahmad Zahid Hamidi.

“Sekarang ini presiden masih lagi ada, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. Tak ada masalah sebab kes beliau masih dalam perbicaraan… tidak ada keputusan apa-apa lagi dari mahkamah.

“Tetapi kita mesti melihat selepas itu siapa? Apakah barisan kepimpinan baru? Yang sebenarnya yang dikehendaki rakyat juga,” katanya.

Ahmad Zahid, 67, sedang dibicarakan di di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas 27 pertuduhan pengubahan wang haram, 12 pertuduhan pecah amanah membabitkan dana Yayasan Akalbudi dan lapan pertuduhan rasuah.

Selasa lalu, bekas Perdana Menteri Najib Razak telah dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun bagi tujuh pertuduhan membabitkan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram dalam kes berkaitan SRC International Sdn Bhd.

Secara keseluruhan, bekas presiden Umno itu dijatuhkan hukuman penjara 72 tahun, namun hakim mengarahkan hukuman dijalankan serentak.