Noh Omar Tanya ke Mana Pergi Duit Tabung Harapan? Ini Jawapan Tengku Zafrul Buat Semua Terdiam

Pada 30 Mei 2018, satu tabung telah dilancarkan oleh Tun Mahathir Mohamad yang ketika itu merupakan Perdana Menteri Malaysia.

Tabung yang diberi nama Tabung Harapan Malaysia itu merupakan satu wadah untuk rakyat membantu negara dan menerima derma rakyat bagi mengukuhkan kewangan kerajaan.

Isu Tabung Harapan dibangkitkan semula hari ini apabila ditanya ke mana duit yang dikumpulkan itu dibelanjakan.

Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz sekali lagi mengulangi bahawa Tabung Harapan yang diperkenalkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini telah digunakan untuk membayar hutang 1MDB.

Sementara itu, beliau berkata hutang kerajaan dan liabiliti pada masa ini adalah sebanyak RM1.26 bilion.

Status mengenai wang Tabung Harapan menjadi modal politik bagi wakil rakyat dan penyokong PN, walaupun kerajaan terdahulu pada November lalu menyatakan kesemua RM205.49 juta wang tabung itu telah digunakan untuk membayar hutang 1MDB pada 2019.

” Ke mana pergi duit Tabung Harapan tu?” soal Noh Omar (BN-Tanjung Karang di Dewan Rakyat hari ini.

Tengku Zafrul, yang menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong menjawab: “Tabung Harapan dah digunakan untuk bayar hutang 1MDB”.

Tabung Harapan diwujudkan oleh PH pada Mei 2018 untuk membolehkan orang ramai menyumbang dalam usaha mengurangkan hutang kerajaan persekutuan, yang menteri kewangan Lim Guan Eng ketika itu menyatakan lebih RM1 trilion.

Lim mengatakan angka itu termasuk hutang sebenar dan liabiliti kerajaan.

Anggota parlimen PN seperti Noh menyoal Zafrul apakah angka itu benar.

Berapa hutang kerajaan sekarang?

Tony Pua (PH-Damansara) kemudian meminta menteri kewangan menyatakan berapa hutang dan liabiliti semasa.

Zafrul berkata pada suku pertama tahun 2020, hutang sebenar adalah sekitar RM823.8 bilion, sementara jaminan kerajaan sekitar RM166.9 bilion.

Jumlah hutang termasuk liabiliti adalah sekitar RM1.26 trilion.

Bagaimanapun beliau memberi jaminan bahawa kerajaan tidak akan muflis dan masih mampu membayar hutangnya.

Terdahulu pada November 2019, Lim Guan Eng yang ketika itu masih Menteri Kewangan berkata Dana Tabung Harapan Malaysia (THM) sebanyak RM205 juta telah digunakan sepenuhnya untuk membayar hutang 1MDB.

Guan Eng berkata, kerajaan pada 28 November telah menggunakan keseluruhan dana THM dengan pembayaran sebanyak RM61.68 juta bagi pelunasan bayaran faedah sukuk 1MDB IMTN (Islamic Medium Term Note).

” Dengan pembayaran terakhir sebanyak RM61.68 juta maka dana THM sebanyak RM205 juta telah digunakan sepenuhnya untuk membayar hutang 1MDB,” katanya.