Parah dihempap peti ais, ini keadaan terkini Muhammad Fawwaz Adli yang menyayat hati

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Begitulah nasib yang menimpa Muhammad Fawwaz Adli, 5, yang kini terlantar di rumahnya selepas parah dihempap peti ais pada 12 Julai lalu.

Selepas tiga bulan berlalu, kehidupan Fawwaz telah berubah 360 darjah.

Dari seorang kanak-kanak yang ceria, Fawwaz kini hanya mampu terbaring di atas katil, tiada daya untuk bangun berdiri dan tidak boleh berkata-kata melainkan sesekali mengerang kesakitan.

Sempena hari ulang tahun kelahirannya yang ke-5 kelmarin, ibu saudara Fawwaz, Noor Atikah Zainal Anuar sempat mencoretkan luahan isi hatinya di Facebook untuk tatapan masyarakat di luar sana.

Ikuti perkongsian Noor Atikah di bawah:

Kelmarin 24/10 merupakan hari lahir Fawwaz yang ke-5 tahun. Selamat Hari Lahir Muhammad Fawwaz Adli. Semoga Fawwaz terus membesar menjadi anak soleh yang kuat untuk menempuh hari-hari mendatang. Semoga Allah juga memberikan ketabahan buat abah dan umi Fawwaz menerima qada dan qadar ini. Jikalau Allah izinkan, pasti Fawwaz akan kembali senyum dan ceria seperti dulu utk meniti waktu riang kanak-kanak sebaya dengannya.

Peristiwa hampir tiga bulan yang lalu bukan sahaja menggemparkan rakyat Malaysia tetapi mengubah 360 darjah keseluruhan hidup Fawwaz. Kejadian pahit peti ais jatuh menimpa di tepi kepalanya menyebabkan Fawwaz tidak mampu makan dan minum, tiada daya untuk bangun berdiri dan tidak boleh berkata-kata melainkan sesekali mengerang kesakitan.

Kisah Fawwaz terlalu mahal untuk dikongsi dengan masyarakat di luar sana. Majoriti rakyat Malaysia menunjukkan keprihatinan dengan memberikan sumbangan dalam pelbagai bentuk sama ada daripada segi wang ringgit, harta benda dan sokongan moral beserta doa. Hanya Allah SWT sahaja yang selayaknya memberikan ganjaran kepada budi baik dan niat murni orang-orang di luar sana.

Saat Allah mendatangkan ujian, pasti ada hikmah besar yang tersembunyi. Ujian untuk kita tidak sama. Ada yang diuji daripada segi kesihatan, kewangan, kebahagiaan dan penderitaan hidup. Kita sebagai hamba Allah yang kerdil dan daif ini haruslah saling bermuhasabah sesama sendiri. Teruskan berdoa dalam usaha meraih kasih dan sayang daripadaNya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*