Perlekeh Penjual Jeruk Pakai Mic, Akhirnya Gadis Ini Tampil Perjelaskan Keadaan Sebenar

BERNIAGA di persimpangan lampu isyarat bukan perkara baharu, malahan ada yang menjadikannya sebagai medan untuk mencari sumber rezeki.

Menerusi satu video yang tular di media sosial, seorang pemuda dilihat menjual jeruk mempelam asam boi setiap kali lampu isyarat bertukar merah.

Klip berdurasi 20 saat itu turut menunjukkan seorang gadis yang memegang mikrofon tanpa kabel sambil membuat laungan mempromosikan mangga yang dijual pemuda itu, sebelum diakhiri dengan gelak tawanya bersama rakan yang membuat rakaman tersebut.

Part promote tu dah mantap tapi part gelak tu macam tak sopan pula,” komen seorang netizen.

“Tolong ke make fun,” ujar netizen yang lain yang menyifatkan tindakan gadis berkenaan seolah mempersendakan penjual tersebut.

Berniaga di persimpangan jalan demi mencari rezeki.

Gadis yang menggunakan mikrofon berkenaan, Fitrah Nur Aishah Shahrul Hizam menjelaskan bahawa dia dan rakanya, Nurul Adlin Kamila Mohd Jesni tiada niat untuk mempersendakan peniaga tersebut.

Ketika kejadian, katanya, mereka terlebih dahulu menggunakan mikrofon tersebut untuk ‘sesi karaoke di dalam kereta sehingga berhenti ketika lampu isyarat merah dekat Ipoh.

“Bukan pertama kali kami nampak dia jual, malah dah beli beberapa kali mempelam asam boi dengan dia di beberapa lokasi. Masa tu, kami nampak ada pemandu Alza buka tingkap kereta dan lambaikan tangan kat dia.

“Dia di seberang jalan, jadi susah dia nak nampak kereta Alza tu. Mujur dia sempat pergi jumpa pemandu Alza, lepas dia jual terus lampu isyarat bertukar hijau,” katanya yang berusia 21 tahun kepada mStar.

Pek jeruk mangga asam boi yang dijual Aliff.

Kedua-dua pelajar Insitusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) itu turut menafikan gelak tawa mereka menerusi video yang tular itu merujuk kepada penjual mempelam asam boi itu.

“Kebetulan masa tu ada mikrofon, apa salahnya kami tolong dia. Sebab biasanya bila lampu isyarat merah, pengguna jalan raya akan sibuk dengan perkara lain macam tengok telefon.

“Kami bukan gelak kat penjual tu, tapi gelakkan diri sendiri sebab kelakar gigih guna mikrofon dan berkaraoke dalam kereta, siap buka tingkap lagi.

“Apapun, kami dah minta maaf kepada penjual tu. Kami juga minta maaf kepada semua atas salah faham yang berlaku. Masing-masing ada pandangan mereka sendiri,” ujarnya.

Aliff hanya menggunakan sepanduk tanpa mikrofon kerana tidak mahu mengganggu lalu lintas.

Sementara itu, penjual jeruk mangga asam boi tersebut, Mohammad Noor Aliff Jazlam pula menjelaskan bahawa dia hanya berniaga bersendirian pada hari berkenaan berikutan abang saudaranya bercuti.

“Saya memang tak guna mikrofon ketika berniaga di persimpangan lampu isyarat sebab tak nak mengganggu pemandu. Kalau saya terjerit-jerit nanti orang kata saya gila.

“Cukuplah ada sepanduk besar yang saya pegang promosi mempelam asam boi tu. Saya dengar mereka ada jerit guna mikrofon tu, tapi saya biarkan saja.

“Saya tak tahu apa motif mereka, niat orang kita tak boleh baca. Ayah saudara berpesan, pedulikan apa orang buat kat kita sebab kalau kita berniaga ikhlas, insyaAllah kita dapat duit (rezeki),” katanya yang mula berniaga di persimpangan lampu isyarat sejak dua bulan lalu.

Aliff yang merupakan anak sulung daripada dua beradik itu bagaimanapun tidak mengambil hati susulan insiden yang berlaku dan telah memaafkan kedua-dua gadis berkenaan.

“Lebih baik saya tumpukan kerja saya menjual mempelam asam boi. Saya berniaga tujuh hari seminggu, hanya ambil cuti kalau ada kecemasan atau hal keluarga.

“Sejak habis SPM (Sijil Pelajaran Malaysia), macam-macam kerja saya buat dan jual mempelam asam boi inilah sumber rezeki saya sekarang. Kalau saya cuti, tak dapatlah duit,” katanya.

Sumber: mstar