PKP Penuh Atau ‘Total Lockdown’ Bakal Di Laksanakan Jika Kes Tak Surut.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh, iaitu dengan menutup hampir kesemua aktiviti ekonomi, akan dilaksanakan sekiranya kes penularan COVID-19 gagal dikawal menjelang 4 Februari.

Amaran itu diberikan Dewan Perniagaan dan Industri Kesatuan Eropah (EU)-Malaysia (EuroCham Malaysia) dalam satu surat kepada ahlinya.

Menurutnya, perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Lokman Hakim Ali sewaktu mesyuarat bersama EuroCham.

“Beliau memberitahu bahawa, Kementerian Kesihatan (KKM) membuat pendirian jelas tentang penutupan sepenuhnya ekonomi.

“Sebanyak 99 kluster COVID-19 di Malaysia adalah berkait dengan sektor pembuatan, dan pihak KKM percaya sektor itu punca utama kepada jangkitan,” katanya dalam satu kenyataan.
EuroCham berkata, sektor pembinaan juga turut disebut menjadi antara punca penularan, namun perkara itu hanya dibincangkan secara ringkas memandangkan ia bukan di bawah bidang kuasa MITI.

“MITI merayu kepada semua syarikat asing dan tempatan untuk bersama-sama berusaha mengurangkan dan memutuskan rantaian jangkitan demi memastikan ekonomi terus dibuka untuk perniagaan.”

Selain itu, syarikat juga dituntut menyediakan ruang kuarantin asas di asrama bagi memastikan kes di bawah pemantauan, kontak rapat dan kes positif boleh diasingkan.

EuroCham berkata, syarikat juga perlu memastikan jumlah pekerja dalam setiap kenderaan pekerja adalah di bawah 50 peratus kapasiti bagi memastikan penjarakan fizikal.

sumber : awani