Polis buka kertas siasatan, orang ramai hantar semula susu tin

BACHOK – Pemilik lori muatan susu yang terbalik di Cabang Tiga, Kampung Tawang, Bachok kelmarin berterima kasih kepada orang ramai yang memulangkan semula susu yang diambil ketika insiden itu berlaku.

Azizan Zainuddin, 57, berkata, sejak berita itu tular, ramai yang ‘terambil’ susu berkenaan tampil memulangkan kembali di rumahnya dan ada yang meletakkan kembali di lokasi kejadian.

“Malam tadi pun ada orang tinggalkan susu di lokasi lori terbalik dan polis menyimpannya untuk diberikan kepada saya.

“Walaupun masih banyak yang belum memulangkannya, sekurang-kurangnya kerugian tidak terlalu tinggi,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Azizan mengakui rayuannya meminta orang ramai memulangkan kembali susu yang diambil tanpa kebenaran menerusi laman sosial dan media cetak banyak membantu.

Hari ini katanya, pengumuman yang sama turut dibuat di masjid di Tawang ketika solat Jumaat yang meminta orang ramai memulangkan susu yang diambil.

Perlu hantar semula susu ke pengkalan chepa

“Lori berkenaan membawa muatan 24 pelet susu, setiap pelet mengandungi 50 kotak dan setiap kotak mengandungi 48 tin susu. Susu itu perlu dihantar ke stor di Pengkalan Chepa,” katanya.

Azizan berkata, dia akan berjumpa pemilik susu berkenaan di Pengkalan Chepa hari ini untuk berbincang mengenai jumlah kerugian dialami selepas susu berkenaan diambil orang ramai tanpa kebenaran.

“Saya juga akan menghantar semua bekalan susu yang ada kepada pemiliknya. Saya kini tak sempat nak fikir apa sebab tengah bingung memikirkan kos kerugian yang perlu diganti kepada syarikat.

“Selain itu, kos membaiki treler rosak akibat kemalangan yang dijangka membabitkan kos RM50,000. Semuanya saya perlu tanggung,” katanya.

Pada masa sama, bapa kepada tiga anak itu berkata, dia berharap orang ramai tidak bercakap bukan-bukan mengenai kejadian itu dan mereka sekeluarga memohon maaf jika orang Kelantan dipandang rendah akibat insiden itu.

Berharap dapat jadi pengajaran

“Namun saya berharap kes ini menjadi pengajaran dan pedoman supaya tidak mengambil barang yang bukan kepunyaan kita,” katanya yang mengambil upah membawa muatan susu untuk dihantar ke gudang.

Anaknya, Mohd Baihaqi berkata, kejadian itu menyebabkan dia cedera di paha kanan akibat tersepit dan Shafiq menerima lima jahitan di kepala.

“Dalam rakaman video yang tular itu, Syafiq (berbaju hijau dalam video) ada letak kotak susu atas motosikal saudara kami dan bapa saudara memunggah kotak susu ke dalam kenderaan Toyota Hilux, namun disimpan sebelum diserahkan semula kepada kami.

“Namun apa yang menyedihkan ada pihak sanggup mengoyakkan khemah treler, malah ada yang berebut dengan bapa saudara hendak ambil susu, bagi saya ini tidak sepatutnya berlaku kerana kami baru ditimpa kemalangan.

“Ibu, Nik Nor Asiha Raja Puteh, 55, yang turut berada di lokasi sudah melarang orang ramai daripada mengambil, namun tidak diendahkan sehingga ada yang memuatkan susu dalam guni,” katanya yang turut membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

Polis buka kertas siasatan

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintenden Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata, polis membuka siasatan kertas siasatan berhubung insiden tersebut.

Katanya, memang jelas ramai yang terlibat mengambil susu di lokasi kejadian berdasarkan video berdurasi 34 saat yang tular di laman sosial.

“Siasatan mendapati pemandu treler tidak memberi kebenaran kepada sesiapapun untuk mengambil susu tersebut,” katanya.

Dalam kejadian jam 4 petang kelmarin, anak Azizan, Mohd Baihaki, 25, yang memandu lori tersebut cedera di dahi apabila lori yang dipandu terbabas dan terbalik.

Selepas mangsa dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan, orang ramai mengambil susu yang berterabur dari lori yang terbalik.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.