‘Nanti Tunggu Papa Balik’ – Respon Dafi Bila Dengar Bapanya IsmaiI Sabri Dilantik Menjadi PM ke-9

” Saya tahu papa sibuk sekarang, jadi, saya biarkan papa bertenang.”

Itu kata-kata penyanyi dan pelakon, Dafi yang memberikan respon susulan perlantikan bapanya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri kesembilan.

Menurut Dafi, dia berharap bapanya dapat menunaikan mandat sebaik mungkin dengan penuh rasa tanggungjawab demi rakyat.

Dafi yang mengaku belum sempat menghubungi bapanya yang dipanggil ‘papa’ untuk mengucapkan tahniah kerana enggan mengganggu, sentiasa menyokong karier insan tersayang itu.

” Sejak beberapa hari lalu, ketika khabar angin bertebaran mengatakan papa menjadi antara yang disebut-sebut bakal menyandang jawatan Perdana Menteri, saya tidak terlalu mengikutinya.

” Secara jujur, saya tidak terlalu memikirkannya. Apabila disahkan pelantikan papa sebagai Perdana Menteri petang tadi, saya terdiam seketika.

” Namun, tidak bererti saya tidak tumpang bangga dengan apa yang diamanahkan kepadanya. Sejak dahulu lagi, saya tidak pernah terfikir papa jadi Perdana Menteri.

” Saya tahu papa sibuk sekarang, jadi, saya biarkan papa bertenang. Nanti papa balik, saya ucapkan tahniah kepadanya,” katanya kepada BHOnline.

Petang tadi, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri kesembilan.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, dilaporkan berkata pelantikan itu selepas baginda menerima surat akuan seramai 114 Ahli Dewan Rakyat sekali gus mencukupi untuk membentuk kerajaan.

Dafi atau nama sebenar Gadaffi, berharap papa tidak mempersiakan amanah diberi, apatah lagi ketika rakyat berdepan penularan pandemik COVlD-l9.

” Sebagai anak, pemerhati dari jauh dan rakyat Malaysia, saya harap amanah itu tidak dipersiakan.

” Saya yakin semua orang mengharapkan perubahan dan peningkatan selepas ini terutama ketika bergelut pandemik COVlD-l9.

” Untuk papa berada di atas tampuk kepimpinan itu bukanlah suatu perkara mudah.

” Semoga segala-galanya akan berbalik dengan kemanisan untuk kita semua… Insya-Allah,” katanya.

Anak kedua daripada empat beradik ini berkata, rakyat berdepan dugaan sejak pandemik COVlD-l9 melanda dunia.

” Dunia seni juga tidak terkecuali menerima impak itu. Saya harap tidak kira sektor apa sekalipun, semoga ada perubahan yang bakal kita lihat. Semoga ada sinar yang bakal menjelma,” katanya.

Dafi berkata, sejak dahulu lagi, dia tidak pernah mahu mengambil kesempatan daripada kedudukan papa dalam kerajaan atau politik.

Dafi yang popular dengan lagu Bila Terasa Rindu, membintangi filem komedi seram, Ada Hantu arahan Hairul Azreen yang ditayangkan di platform digital, Disney+ Hotstar.

Angkat sumpah esok

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat serta Menandatangi Sumpah Jawatan sebagai Perdana Menteri akan dijalankan esok, jam 2.30 petang.

Baginda berkata selaku Ketua Utama Negara menzahirkan pandangan dengan pelantikan Perdana Menteri baharu ini, kerajaan perlu meneruskan usaha memerangi pandemik COVlD-l9 dengan segera demi kemaslahatan dan keselamatan rakyat serta kesejahteraan negara.

Baginda berharap kemelut politik dapat diakhiri segera dan semua Ahli Dewan Rakyat mengetepikan agenda politik dengan bersatu hati dan bersepakat berusaha menangani pandemik COVlD-l9, demi kepentingan rakyat dan negara.

Dalam pada itu, beliau berkata, Al-Sultan Abdullah menzahirkan setinggi penghargaan di atas sokongan berterusan Raja-Raja Melayu dalam menyempurnakan tanggungjawab selaku Raja Berpelembagaan yang berteraskan keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan Kedaulatan Undang-undang.

” Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu turut menyokong pendirian Seri Paduka Baginda kepada pembentukan kerajaan yang stabil dengan secepat mungkin, berikutan peletakkan jawatan Perdana Menteri dengan melakukan penelitian dan pemerhatian yang lebih mendalam, menerusi surat akuan dan pengesahan melalui sesi menghadap secara fizikal serta maya dengan setiap Ahli Dewan Rakyat.

” Seri Paduka Baginda turut menyeru seluruh rakyat agar terus bertenang dan bersama baginda mendoakan agar negara sentiasa berada di bawah lindungan Allah, dijauhi dari sebarang musibah dan wabak COVlD-l9 dapat dibendung serta diakhiri dengan segera,” katanya.

Sumber:bharian