“Saya hanya mampu menangis melihat khemah dan pelamin diterbangkan angin” – Pengantin

PETALING JAYA: Hujan lebat disusuli dengan ribut menyebabkan lima khemah kenduri diterbangkan angin dalam kejadian di Blok D Pangsapuri Damansara Bistari, di sini, pagi tadi.

Situasi itu menyebabkan pengantin, Suhaila Yahya, 24, cemas kerana kejadian berlaku hanya beberapa jam sebelum majlis pernikahannya berlangsung.

Suhaila ketika ditemui berkata sebelum kejadian, keadaan cuaca amat baik namun hujan serta angin kencang bermula jam 10 pagi.

Suhaila berkata, ketika itu lauk-pauk baru siap dimasak secara bergotong-royong oleh penduduk sementara dia memasang alas meja di bawah khemah.

“Saya baru naik ke rumah untuk bersiap bagi majlis akad nikah selepas membantu memasang alas meja di khemah.

“Tiba-tiba saya diberitahu khemah terbalik diterbangkan angin lalu segera turun semula untuk melihat apa yang berlaku.

“Ada yang memberitahu mereka nampak angin seperti berpusing dan menerbangkan khemah hingga terbalik. Pelamin yang dipasang di bawah khemah pun berpusing-pusing tetapi mujur dapat diselamatkan dan diubah ke bawah blok,” katanya.

Dia yang juga kakitangan kerajaan berkata, kejadian begitu pantas dan hanya dalam tempoh lima minit lima khemah yang dipasang semuanya terbalik.

“Ada seorang penduduk kemudian melaungkan azan dan keadaan kembali reda selepas itu.

“Syukur tiada yang cedera, mujur juga ketika kejadian majlis belum bermula. Kalau tidak, tak tahulah apa yang akan berlaku,” katanya.

“Sedangkan ketika itu tiada langsung tanda seperti ingin hujan namun tidak sangka ia berlaku sekelip mata sehingga saya menangis dan meminta bantuan pihak yang memasang khemah supaya datang semula untuk menolong.

Dia berkata, sebaik keadaan reda pihak yang diupah dihubungi untuk memasang semula khemah terbabit dan majlis berjalan lancar selepas itu.

“Alhamdulillah majlis berjalan lancar dan saya selamat dinikahkan 3 petang tadi di Surau Al Ikhlas berhampiran pangsapuri ini,” katanya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.