“Saya Sendiri Tunggu 10 Tahun Untuk Cahaya Mata Pertama,” – Tunku Azizah Taja 60 Pasangan Jalani Rawatan Kesuburan.

Bersempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menaja 60 pasangan suami isteri untuk menerima rawatan kesuburan dari Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF) bulan depan.

Titah baginda, kesemua pasangan tersebut dipilih sempena hari keputeraan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang ke-60 tahun… yang jatuh pada tanggal 30 Julai bersamaan pada hari ini!

Titah baginda lagi, niat itu tercetus apabila baginda pernah merasai pengalaman sukarnya menimang cahaya mata memandangkan baginda terpaksa menunggu selama hampir 10 tahun untuk menimang cahaya mata pertama.

Tanpa berselindung, Tunku Hajah Azizah turut mengakui baginda terpaksa mengharungi rawatan kesuburan IVF selama 17 kali sebelum dikurniakan zuriat sulung baginda, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah.

Malah Raja Permaisuri Agong juga pernah mengalami keguguran sebanyak enam kali, selain perlu menjalani 16 proses rawatan kesuburan, termasuk persenyawaan in vitro (IVF) serta Suntikan intrasitoplasmik sperma (ICSI).

“Alhamdulillah TAFF banyak memberi sokongan. Banyak juga yang menolong saya. Saya hanya nak memberi balik apa yang Allah telah kurniakan kepada saya. Ini kebesaran Allah SWT.”

Sebelum ini yayasan tersebut terpaksa menghentikan tajaan buat sementara kerana ketiadaan dana. Bagaimana pun Tuanku Raja Permaisuri Agong mendapat ilham untuk menubuhkan yayasan tersebut selepas pelancaran buku masakan baginda.

Baginda turut memahami prosedur fertiliti in-vitro (IVF), bukanlah satu rawatan yang murah kerana satu rawatan sahaja boleh mencecah sehingga RM20,000. Dalam pada itu, hasil jualan buku masakan baginda disumbangkan 100 peratus bagi membantu pasangan yang sedang berusaha untuk memiliki cahaya mata melalui TAFF.

Sehingga kini, seramai 116 anak dilahirkan selepas menjalani rawatan di TAFF. Titah Tunku Hajah Azizah lagi, anak sulung TAFF kini sudah berusia 13 tahun.

Menurut kenalan rapat Tunku Azizah, Datuk Hamimah Abdul Karim, segala dugaan yang dilalui oleh baginda selama 10 tahun untuk mendapatkan waris takhta negeri Pahang, menjadikan Raja Permaisuri Agong seorang yang lebih cekal.

“Usaha baginda yang tidak pernah berputus asa dalam mendapatkan zuriat itu wajar dijadikan sumber inspirasi dan contoh buat wanita di negara ini. Malah baginda sentiasa senyum dan ceria walaupun perlu melalui pelbagai dugaan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Jelas beliau, TAFF mempunyai keupayaan kewangan bagi membantu pasangan suami isteri yang kurang berkemampuan untuk mendapatkan zuriat pertama mereka.

“Kita bantu tanpa mengira kaum, agama dan negeri dalam mencari dan mendapatkan rawatan perubatan serta menyediakan kaunseling dan perkhidmatan sokongan yang berkaitan.

“Sehingga kini juga seramai 116 bayi sudah dilahirkan hasil bantuan daripada TAFF. Malah Tuanku sendiri gelar bayi ini sebagai cucu baginda,” katanya yang telah dikurniakan gelaran Dang Perwara Raja Permaisuri Agong.

Menceritakan pengalaman kira-kira 20 tahun mengenali Raja Permaisuri Agong, Hamimah berkata, Tuanku merupakan seorang anak raja yang tinggi ilmu agamanya selain pandai mengaji al-Quran.

“Banyak doa yang Tuanku amalkan. Dalam majlis-majlis khatam al-Quran, baginda yang akan memimpin. Baginda juga selalu mengingatkan supaya tidak menjadikan ayat al-Quran sebagai hiasan semata-semata demi kebahagian hidup di dunia dan akhirat,” katanya.

Hamimah berkata, Tuanku Raja Permaisuri Agong juga seorang yang sangat teliti, mengenali rakan-rakannya dengan baik, bahkan mampu mengingati kesukaan rakan-rakan.

“Sebagaimana baginda sayang dan rapat dengan rakyat, begitulah dengan kami yang terlibat secara langsung dengan pelbagai aktiviti Tuanku Raja Permaisuri Agong,” katanya.

Tunku Azizah mendirikan rumah tangga dengan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah  pada 6 Mac 1986 dan dikurniakan sembilan cahaya mata.

Yayasan TAFF diketuai oleh Pengasas dan juga Presiden Seumur Hidup KDYTM Tengku Puan Pahang, Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Al-Mutawakhil binti Sultan Iskandar Al-Haj. KDYTM Tengku Azizah dibantu oleh sebuah Jawatankuasa terdiri daripada 10 orang ahli yang dilantik. Keahlian Yayasan ini adalah melalui jemputan sahaja.

TAFF akan menawarkan penajaan pasangan yang terpilih untuk rawatan IVF di salah sebuah Pusat Fertiliti yang mengambil bahagian di Malaysia. Kos rawatan seperti pembekuan embrio berlebihan, pemindahan embrio beku, aspirasi pembedahan sperma, ujian darah, rawatan untuk komplikasi dalam rawatan antenatal, pengangkutan dan penginapan semasa rawatan akan ditanggung oleh pasangan tersebut.

Menubuhkan dan menguruskan sebuah yayasan yang dikenali sebagai Tunku Azizah Fertility Foundation (TAFF) untuk menyediakan bantuan kewangan dan membantu pasangan suami isteri Malaysia yang kurang berkemampuan dan yang memerlukan tanpa mengira kaum, agama dan negeri dalam mencari dan mendapatkan rawatan perubatan serta menyediakan kaunseling dan perkhidmatan sokongan yang berkaitan.

ALIRAN PROSES PERMOHONAN

KRITERIA KELAYAKAN :

1.Berdaftar sebagai pasangan suami isteri
2.Pasangan suami isteri adalah rakyat Malaysia
3.Umur isteri tidak melebihi 45 tahun
4.Bukan penderma sperma / ovum
5.Maksimum pendapatan bulanan bersama pasangan tidak melebihi RM4,000.00

6.Tempoh perkahwinan melebihi 3 tahun

JIKA MEMENUHI KRITERIA :
Pasangan hendaklah melengkapkan dan menandatangani borang permohonan berserta borang penilaian Pakar Sakit Puan

HANTAR KEPADA :
Jawatankuasa Teknikal sebagai saringan untuk penilaian

JIKA DITERIMA, HANTAR KEPADA :
Kelulusan Lembaga
** Borang permohonan boleh diperolehi dari Pusat Fertiliti yang mengambil
bahagian atau dengan menulis kepada :

Tunku Azizah Fertility Foundation
Istana Abdulaziz, Bandar Indera Mahkota
25200 Kuantan, Pahang Darul Makmur
Tel. : 09-573 3241
Email : taff2004@yahoo.com

Sumber: BERNAMA

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*