Sayu..Momen 800 kakitangan Utusan kosongkan pejabat mengundang rasa sedih

Selepas 80 tahun menjadi menjadi wadah dan lidah perjuangan orang Melayu di negara ini, tanggal 9 Okt 2019 menjadi detik pilu bagi Utusan Malaysia apabila terpaksa menamatkan operasinya selepas tidak mampu lagi berdepan masalah kewangan yang semakin serius.

Krisis kewangan dihadapi akhbar terbitan Utusan Melayu (Malaysia) Bhd itu, yang turut menerbitkan akhbar tabloid Kosmo! bukanlah satu perkara baharu dah ia dilaporkan sudah berlarutan sejak beberapa tahun lepas, apabila tuntutan perjalanan dan beberapa elaun lain sering dibayar lewat kepada petugas, berikutan kemerosotan hasil jualan serta pengiklanan.

Keadaan itu menyebabkan Utusan Melayu pernah dikatakan akan menghentikan operasi pada 20 Ogos lalu, namun dinafikan Pengerusi Eksekutifnya Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir, yang kemudian memaklumkan akhbar berkenaan terpaksa menaikkan harga akhbar Utusan dan Kosmo! dalam usaha untuk memberi sinar baharu kepada dua akhbar itu.

Utusan Melayu menamatkan perkhidmatan semua pekerjanya pada 31 Okt ini berikutan berdepan prestasi syarikat yang merosot.

Menerusi satu memorandum pekeliling yang dikeluarkan akhbar berkenaan, tarikh akhir bekerja bagi kakitangan syarikat itu adalah semalam.

Koleksi gambar di sekitar pengosongan pejabat dimuat naik di laman media sosial yang ternyata mencetuskan perasaan hiba dan suram. Berikut antara momen yang dikongsi oleh beberapa jurugambar.

Bagi Mohamad Hafiz Yusoff Bakri, 32, yang sudah berkhidmat selama enam tahun, berkata beliau turut bersedih dengan penutupan operasi syarikat itu dan lebih terkilan semua kakitangan dimaklumkan mengenai perkara itu pada saat akhir.

Beliau berkata kepuasan bekerja di Utusan menyebabkan beliau kekal setia bersama organisasi itu, sehingga ke hari ini walaupun menyedari Utusan sudah tenat sejak pertengahan bulan lalu.

“Kami semua di Utusan bersedih, namun kehidupan perlu diteruskan. Sebelum ini Utusan tidak pernah culas dengan kebajikan pekerja, sebab itu saya tetap bersabar walaupun tidak dibayar gaji dua bulan. Saya tahu keadaan kewangan Utusan tengah bermasalah, tetapi saya yakin pihak pengurusan akan membayar gaji kami.

“Lebih menyedihkan mendengar keluhan rakan-rakan yang sudah berkahwin dan berkeluarga, dugaan mereka lagi berat berbanding saya. Menjadi persoalan, mengapa pihak pengurusan tidak memaklumkan awal kepada kami,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Hafiz berkata beliau akan merindui rakan sekerja yang dianggap seperti keluarga sendiri.

Turut berkongsi pandangan sama, Penolong Ketua Biro Kosmo Putrajaya, Nor Idayu Bosro yang menyifatkan persekitaraan kerja yang penuh dengan semangat kekeluargaan dalam kalangan warga akhbar tabloid itu, menjadi faktor utama mereka terus setia bersama syarikat itu.

Nor Idayu, 32, berkata beliau tidak terkejut mendapat tahu mengenai penutupan operasi akhbar terbitan Utusan Melayu itu, kerana berdasarkan penjelasan pihak pengurusan kepada staf Utusan-Kosmo pada Ogos lalu, jalan terakhir penyelesaian adalah penutupan operasi organisasi tersebut.

“Pada hujung bulan ini akan diadakan townhall, jika diberi peluang untuk berkhidmat dengan Kosmo, saya akan teruskan. Saya tidak berasakan gaji menjadi masalah utama, saya yakin pihak pengurusan akan menjelaskannya,” katanya.

Kumpulan Utusan yang menerbitkan Utusan Malaysia dan Kosmo! berdepan masalah kewangan kritikal sejak beberapa tahun lalu sehingga menyebabkan tunggakan gaji kakitangan dan bekas kakitangan.

Sumber: themalaysiainsight & frontdesk.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.