Selepas Teruk Dihentam Netizen, Juruterbang Ini Dedah Kisah Siti Aisyah Thomas Lewat 5 Minit Tak Dibenar Masuk Pesawat

Kisah seorang wanita yang tidak dibenarkan masuk ke dalam pesawat AirAsia untuk pulang ke Tawau kerana lewat lima minit tidak sepatutnya berlaku jika kakitangan syarikat penerbangan tambang murah itu menggunakan budi bicara dan berperikemanusiaan.

Apatah lagi insiden itu berlaku ketika penumpang berkenaan, Siti Aisyah Thomas dalam keadaan bergegas balik untuk melawat bapanya yang meninggal dunia.

Seorang juruterbang memberitahu MalaysiaGazette, pada dasarnya tidak ada masalah pun sekiranya kakitangan di bahagian darat (ground staff) dimaklumkan perkara sebenar.

Ini kerana, pertimbangan untuk menangguhkan penerbangan adalah atas budi bicara kakitangan berkenaan.

“Mereka kemudian akan memaklumkan kepada juruterbang. Pada pandangan saya sebagai juruterbang tidak ada masalah pun kalau tertangguh lima, 10 minit apatah lagi membabitkan isu-isu kecemasan seperti kematian.

“Tidak ada salahnya jika kita saling memahami, membantu orang dalam kesusahan,” katanya.

Namun, menurut juruterbang itu, kejadian yang menimpa Siti Aisyah tidak mengejutkan kerana kakitangan di bahagian darat memang mematuhi jadual penerbangan kerana ketepatan masa berlepas pesawat dijadikan pengukur Indeks Prestasi Utama (KPI) mereka.

Jika berlaku penangguhan penerbangan, ia bukan sahaja menjejaskan KPI kakitangan di bahagian darat tetapi elaun mereka turut dipotong.

“Gaji kakitangan di bahagian darat kecil, tetapi elaun banyak. Jadi, ini salah satu sebabnya juga,” tambah juruterbang kanan sebuah syarikat penerbangan di negara ini.

Mengulas lanjut, juruterbang itu berkata, penangguhan penerbangan dalam tempoh lima atau 10 minit tidak menjejaskan keseluruhan penerbangan kerana tempoh masa boleh disesuaikan (adjust) semula semasa penerbangan.

Malah, untuk memaklumkan kepada kawalan trafik udara juga bukan satu masalah besar.

“Semuanya bergantung kepada pertimbangan – mahu atau tidak sahaja,” menurutnya yang biasa menggunakan pertimbangan dan budi bicara terutama ketika melakukan penerbangan haji dan umrah.

Kata juruterbang itu, mengendalikan penerbangan haji atau umrah selalunya memerlukan pertimbangan kemanusiaan memandangkan juruterbang berdepan dengan jemaah warga emas dan dalam kalangan mereka yang uzur.

“Bagi saya mudah sahaja, jika kita permudahkan urusan orang, Insya-Allah, urusan kita akan dipermudahkan.

Semalam, seorang warganet melahirkan rasa kesalnya terhadap kru penerbangan AirAsia yang melarang Siti Aisyah menaiki pesawat selepas wanita itu lewat lima minit.

Insiden itu berlaku pada pukul 5.25 petang pada 10 Februari lalu.

Tindakan itu menyebabkan Siti Aisyan terpaksa membelanjakan lebih RM1,000 untuk membeli tiket baharu untuk pulang ke Sabah.

Menurut Nurul Adira Mohamad menerusi ciapan twitternya, Siti Aisyah menerima berita kematian ayahnya di Tawau pada 12.30 tengah hari pada tarikh yang sama.

Siti Aisyah yang berada di Johor Bahru telah meminta rakannya menghantar klia2 supaya dia dapat menaiki pesawat pada pukul 5.25 petang.

Malang, dia lewat lima minit ketika tiba di pintu K2 dan tidak dibenarkan memasuki pesawat walaupun abang Siti Aisyah yang sudah berada dalam penerbangan AK5740 membuat rayuan.

Penerbangan AK5740 adalah pesawat terakhir dari klia2 ke Tawau.

Dalam keadaan itu, Siti Aisyah terpaksa membeli tiket penerbangan baharu tetapi hanya transit ke Kota Kinabalu dan perlu menunggu keesokan harinya untuk pulang ke Tawau.

Kredit:klviral

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.