Semua berdebar apabila Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja lupa nama Raja Perlis

UPACARA melafaz sumpah memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 oleh Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berlangsung dengan penuh adat istiadat.

Rakyat Malaysia yang menonton siaran langsung upacara berkenaan pastinya mengagumi Penyimpan Mohor Besar Raja-raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad mengendalikan mesyuarat tanpa sebarang nota bacaan sebagai rujukan.

Istiadat di Balairung Seri itu diadakan dalam mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-252 (Khas) yang dipengerusikan oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Bagaimanapun berlaku sedikit kecacatan apabila Syed Danial terlupa nama penuh Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail ketika menyebut nama saksi-saksi selain Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Berdasarkan rakaman, Sultan Selangor dilihat cuba membantu Syed Danial memperbetulkan sebutannya.

Namun Syed Danial meneruskan upacara tanpa menyebut nama penuh Tuanku Syed Sirajuddin, sebaliknya beliau hanya menggunakan “Raja Perlis” sebagai mewakili Baginda.

Susulan itu, beberapa pengguna media sosial berkongsi rasa gementar mereka mengenai kesilapan yang dilakukan Syed Danial.

Namun rata-rata memberi komen positif apabila Syed Danial memohon maaf secara terbuka selepas Mufti Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar selesai membacakan doa.

“Patik hamba Allah dengan harapan yang paling tinggi memohon agar patik tidak dimurkai kerana teralpa menyebut nama penuh Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail sebagai Raja Perlis.

“Patik mohon ampun dan dirgahayu Majlis Raja-Raja tuaku,” katanya

Sultan Abdullah lafaz sumpah jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-16.

SULTAN Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Khamis melafaz sumpah memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 dalam upacara penuh adat istiadat di Istana Negara, di Kuala Lumpur.

Turut melafaz sumpah memegang jawatan ialah Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Baginda berdua dipilih oleh Raja-Raja Melayu pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-251 (Khas) di Istana Negara pada 24 Januari lepas, bagi tempoh lima tahun bermula Khamis.

Malaysia adalah sebuah daripada 43 negara di dunia yang mengamalkan sistem pemerintahan raja berperlembagaan dan satu-satunya negara yang mengamalkan sistem penggiliran dalam kalangan sembilan raja Melayu.

Sultan Abdullah, 59, dan Sultan Nazrin, 62, melafaz dan menandatangani surat sumpah jawatan di hadapan Raja-raja Melayu dari Negeri Sembilan, Selangor, Perlis, Terengganu, Kedah, Johor, Kelantan (diwakili Tengku Mahkota Kelantan) dan Pahang yang diwakili Pemangku Raja serta Yang Dipertua Negeri Melaka, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak selain dif-dif kenamaan yang mewakili badan eksekutif, perundangan dan kehakiman.

Istiadat di Balairung Seri itu diadakan dalam mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-252 (Khas) yang dipengerusikan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Surat Sumpah jawatan itu kemudiannya ditandatangani oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail sebagai saksi.

Sultan Abdullah turut menandatangani Surat-surat Perisytiharan Memegang Jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-16 dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong. – Bernama

Kredit Mstar online.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.