Serba Purple, Sekitar Majlis Persandingan Mira Filzah Dan Wan Emir Dengan Tema Midnight Sky

Pasangan mepati sejoli ini diraikan dalam sebuah majlis resepsi yang berlangsung di Hotel di Le Meridien, Putrajaya sebentar tadi.

Dengan bertemakan ‘midnight sky’, berlatarkan warna purple cukup menarik mata memandang saat dua pasangan bahagia ini berjalan seiringan ke pelamin.

Detik-Detik Bahagia

Mira Filzah Selamat Bergelar Isteri

Pelakon dan pengacara, Mira Filzah selamat bergelar isteri kepada Wan Emir Astar, 30, dengan sekali lafaz di Pusat Konvensyen Sime Darby di Bukit Kiara, Kuala Lumpur pada kira-kira pukul 8.58 malam.

Mira atau nama sebenarnya Nur Amirah Filzah Badioezaman, 27, dinikahkan oleh bapanya Badioezaman Ab. Khalik.

Bersaksikan Pendaftar Perkahwinan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Mohd Abdul Nasir Abdullah.

Pasangan pengantin sedondon memakai busana putih rekaan pereka fesyen terkenal Rizman Ruzaini dan solekan oleh Yna Sakinah.

Emir merupakan anak kepada Timbalan Menteri di Jabatan Hal Ehwal Khas Perdana Menteri, Datin Mastura Mohd Yazid.

Sebelum ini, Emir atau nama sebenarnya Wan Emir Astar Wan Mohammad Khair-il Anuar, 30, menghantar rombongan keluarga untuk merisik Mira sebagai suri hidupnya pada Disember tahun lalu.

Majlis pernikahan itu dihadiri kira-kira 250 jemputan yang terdiri daripada keluarga, rakan terdekat, selebriti dan media.

Meski mahu menghargai para tetamu, Mira dan suami sepakat untuk mematuhi syarat piawaian Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Setiap majlis jemputan sekitar 250 orang sahaja dan untuk majlis ketiga, ia mungkin lebih kurang daripada itu.

“Kita mahu meraikan tetapi kalau boleh pada masa sama, kena berjaga-jaga juga dengan situasi semasa yang berlaku kini.

“Kalau nak tetapkan Wedding of the Year, itu bukan sayalah. Saya hanya lakukan apa yang saya suka,” katanya lagi.

Sebuah lagi majlis resepsi akan diadakan di sebuah premis acara di Puchong pada Ahad ini.

Sementara itu, pelakon drama Bidadari Kiriman Tuhan itu dan Emir merancang untuk berbulan madu dan bercuti di Langkawi.

Pada majlis semalam, pihak lelaki menyerahkan mas kahwin berupa seutas gelang manakala jumlah wang hantaran dirahsiakan.

Pihak lelaki juga menyerahkan sembilan dulang hantaran dan berbalas 11 daripada pihak perempuan.

Hantaran Istimewa

Antara hantaran istimewa Mira kepada Emir adalah seutas jam tangan yang dihantar khas ke Hong Kong untuk proses pengukiran ‘nota pendek’ Mira kepada suami tercintanya.

Tidak hanya itu, lima daripada 11 hantaran daripada Mira dibuat sendiri neneknya yang kini berusia 81 tahun.

Antaranya adalah kek fondant, tepak sirih, halwa dan biskut serta sirih junjung.

Selain itu, kek pernikahan Mira juga dibuat oleh air tangan nenek Mira.

Majlis pernikahan itu bertemakan Mihrab Cinta yang berkongsepkan kubah berbentuk Islamik kerana mengikut citarasa Emir.

Ini memandangkan dia seorang artikek yang minat akan struktur dan ciptaan bangunan.

Memanjatkan rasa syukur ke hadrat Ilahi, Mira berkata, walaupun sudah bergelar isteri dia akan terus menumpahkan sepenuh kecintaan terhadap kerjaya lakonannya.

“Saya akan terus menyambung kerjaya lakonan seperti biasa dan mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua peminat atas segala sokongan yang dibrikan sejak awal kerjaya saya sehingga hari ini.

Doakan yang terbaik untuk saya dan Emir,” katanya.

Sumber : RekaTeemor/OMadmin