Siapa lagi berkuasa, kementerian pelajaran atau PIBG, soal Tunku Azizah

PERMAISURI Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mempersoalkan peranan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dalam menentukan sama ada Jawi boleh diajar di sekolah vernakular.

Baginda juga mempertahankan usaha memperkenalkan Jawi di sekolah dalam catatan di Twitternya malam tadi.

“Tulisan Jawi itu adalah warisan kita orang Melayu. Mari kita semua gunakan dan martabatkan jadi kita semua senang baca.

“Siapa lebih berkuasa? Kementerian Pendidikan atau PIBG?

“Anak-anak saya juga ke sekolah kerajaan. PIBG hanya untuk menjaga kebajikan dan mutu pelajaran yang disampaikan oleh guru-guru mengikut silabus kementerian,” katanya.

Catatannya itu ditulis sepenuhnya dalam tulisan Jawi. Baginda mula menulis Jawi di Twitter sejak hujung bulan lepas.

Walaupun baginda tidak menamakan sesiapa, catatan itu dipercayai merujuk kepada Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching yang dilaporkan berkata pengajaran Jawi di sekolah vernakular tertakluk kepada kelulusan PIBG.

Pengenalan Jawi dalam sukatan mata pelajaran Bahasa Melayu pelajar Tahun 4 mendapat bantahan kumpulan pendidikan Cina Dong Zong dan Dong Jiao Zong yang merancang mendakan kongres untuk membantahnya.

Kongres itu kemudian dibatalkan selepas polis mendapatkan perintah mahkamah untuk menghalang ia dianjurkan.

Bagaimanapun, pengenalan Jawi itu mendapat sokongan pelbagai pihak seperti Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) yang mengadakan himpunan menyokongnya pada 1 Januari lalu. – 3 Januari, 2020.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.