“Tak Pernah Pun Bagi Kita Panggilan Romantik,” – Cerita Tunku Azizah Masih Simpan Semua Surat Cinta Yang Dikirim Oleh Yang di-Pertuan Agong

Pertabalan Tuanku Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 adalah suatu momen yang sangat dinanti-nantikan oleh rakyat jelata.

Istiadat yang berlangsung turut menyaksikan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bakal menemani Yang di-Pertuan Agong duduk di atas singgahsana.

Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menyifatkan pertabalan tersebut seolah-olah bersanding balik selepas 33 tahun. Pasangan diraja ini juga sering mendapat perhatian rakyat dan menyifatkan baginda berdua sebagai pasangan romantik.

“Dalam mana-mana perkahwinan, kita kena jadi kawan yang baik. Mesti boleh berkomunikasi. Itulah Tuanku dan saya,” titahnya.

Tetap romantik walau tiada ‘darling’, ‘sayang’

“Awak kena ke dapur dengan dia, demikian komen Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, ketika ditanya wartawan mengenai perwatakan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Benar seperti kata orang tua-tua, kalau nak kenal orang perempuan, lihat bagaimana dia di dapur. Mungkin itulah yang dimaksudkan Al-Sultan Abdullah.

Baginda mungkin tersenyum ketika menyatakannya, namun di sebalik riak wajah Yang di-Pertuan Agong itu, ibarat tersimpan banyak cerita mengenai sifat Tunku Azizah di dapur.

Tunku Azizah memang dikenali sebagai anak raja yang cukup sinonim dengan hobi suka memasak. Tidak kekok di dapur, kisah Raja Permaisuri Agong turun padang memasak juadah untuk mangsa banjir ketika meninjau keadaan penempatan itu juga, pernah dilapor media.

Bagaimanapun, Al-Sultan Abdullah mengakui tidak dapat berkongsi banyak mengenai sifat Tunku Azizah di dapur kerana jarang berada di sana.

“Kelebihan dia sangat tegas dan ambil berat dengan integriti staf. Kalau telefon atas meja, ia mesti tersusun elok. Hal sama juga untuk susunan atas meja makan,” kongsi baginda sambil menyusun satu persatu telefon bimbit serta alat perakam suara milik wartawan di atas meja, untuk menunjukkan cara susunan mengikut gaya Tunku Azizah.

Mengenai pandangan umum yang melihat baginda berdua sebagai pasangan romantik, Al-Sultan Abdullah mengakui ia lumrah bagi mana-mana pasangan.

“Kadang-kadang tu memang romantik, tetapi ada juga perbezaan pendapat. Dia (Tunku Azizah) kerap bagi pandangan yang sangat bernas dan dia sangat bagus dalam hal ini,” titah baginda.

Mengenai Istana Abdulaziz di Indera Mahkota, Pahang yang digambarkan lambang cinta baginda berdua, Al-Sultan Abdullah mengakui amat merinduinya kerana di situlah anakanda baginda dibesarkan.

“Istana Negara saya tumpang saja. Rindu (Istana Abdulaziz) kerana di situ saya besarkan anak-anak dan makan makanan tukang masak sendiri. Di sini saya tumpang saja, apabila habis saya akan balik ke Pahang.

“Sebenarnya, Istana Abdulaziz ialah rumah kami. Kami habiskan banyak masa di sana. Saya rindu katil saya, gimnasium saya.

“Alhamdulillah, di sini pun OK, staf sangat profesional.

Saya bangga kini Istana Negara dibuka kepada rakyat. Setiap kali solat Jumaat, masjid atau surau di dalam ini (Istana Negara) penuh. Saya akan cuba adakan majlis babitkan rakyat di Istana Negara ini, insya-Allah,” titah baginda.

Sementara itu, Tunku Azizah bertitah, Tuanku tidak panggil ‘Darling’ atau ‘Sayang’.

“Tuanku selalu panggil saya Ji, sebab itu nama saya sudah dikenali dengan panggilan Jiji atau Zizi. Saya pula panggil Tuanku, Alam atau Ba dan saya rasa, Tuanku suka dipanggil Ba.

“Masa mula-mula kahwin Tuanku ada kata, tidak akan panggil antara kami dengan panggilan Honey, Sweet Heart atau Darling, nanti kalau gaduh Honey entah ke mana,” cerita Tunku Azizah.

Tunku Azizah memberitahu, romantik antara mereka datang secara semula jadi.

“Ia secara automatik. Tak perasan pun kami ini romantik. Kami pasangan romantik
dengan cara tersendiri.

“Ditanya kemungkinan berlaku selisih faham, jawab baginda asam garam hidup berumah tangga sama juga seperti pasangan suami isteri yang lain.

“Dalam sebuah perkahwinan kita mesti jadi kawan baik pasa­ngan dan boleh berkomunikasi. Itu yang saya dan Tuanku lakukan.

Untuk membentuk harmoni itu penting dan adakalanya kita perlu lupakan semua perkara lain dan gembira untuk satu sama lama lain. Jangan ambil kesempatan dengan pasangan.

“Memang ada ketika kita marah antara satu sama lain tetapi kehidupan perlu diteruskan. Perkahwinan sesuatu yang kita usahakan untuk gembira, bukan ambil mudah antara satu sama lain. Kita perlu saling berusaha. Sedangkan lidah lagi tergigit,” titah Tunku Azizah.

Mengimbas kembali perkahwinannya yang disifatkan separa diatur, Tuanku Azizah bertitah pertemuan pertama berlaku di padang polo di Johor ketika usianya 12 tahun dan Sultan Abdullah pula berusia 13 tahun.

Selama 13 tahun berkawan dan bercinta, hanya surat, aerogram dan telefon yang menjadi penghubung setiap minggu. Istimewanya, semua surat itu masih tersimpan rapi sebagai kenangan berharga percintaan jarak jauh baginda berdua.

“Ayahanda saya dulu sangat tegas, betul-betul ikut cara Islam, mana boleh keluar bersama, pergi tengok wayang atau minum kopi. Ya, kami tidak pernah. Apatah lagi pegang tangan. Setiap kali Tuanku nak jumpa saya, kena buat temujanji dan makan tengah hari bersama ayahanda saya.

Nenda saya dan nenda Tuanku mahukan perkahwinan ini. Melihat ayahanda saya yang begitu tegas, nenda saya selalu ajak Tuanku datang Johor untuk bermain polo. Jadi dapatlah kami berjumpa di padang polo, itu pun dengan semua orang keliling.

Saya ingat ketika umur saya 23 tahun, Tuanku pernah tanya adakah saya mahu menjadi isterinya satu hari nanti. Saya jawab, adakah Tuanku anggap saya ni cukup baik untuk menjadi ibu kepada anak-anaknya.

Tapi Tuanku tidak ajak saya kahwin. Tuanku beritahu ayahandanya supaya mengumumkan dia akan mendirikan rumah tangga dia akan mendirikan rumah tangga pada hari keputeraan baginda pada Oktober 1985, tetapi tidak cakap dengan siapa.

Ayahanda saya pula tidak tahu mengenai pengumuman itu. Apabila rombongan Pahang sampai, ayahanda saya tanya, adakah dia nak atau ini perkahwinan yang diatur? Jika diatur oleh ibu bapa, saya tidak terima. Kalau dia sendiri mahu, saya terima.

Selepas tiga hari, barulah ayahanda kata “Bah lupa nak tanya Azizah nak ke tak nak, tapi Bah dah terima,”. Saya bernikah pada Mac dan bersanding pada 19 Julai (1986). Antara Mac dan Julai, walaupun sudah jadi suami isteri yang sah, tetap tak boleh keluar. Saya di Johor, Tuanku di Pahang.

Majlis perkahwinan diadakan di Johor dengan penuh istiadat kerana anak Agong berkahwin dengan Tengku Mahkota Pahang. Titiek Soeharto selalu kata, itulah satu-satunya majlis perkahwinan yang berlarutan sampai jam 5 pagi. Pada hujung Julai ni, kami nak bersanding lagi,” titahnya.

“Saya tidak rasa kami ni romantik sangat. Media selalu rakam momen yang tidak kami perasan macam masa suapkan lauk. Bagi saya ia adalah perkara natural (melayan suami) seperti letakkan lauk untuk suami.

Kami tak adalah panggil Sayang, atau sebab kami dah kenal 13 tahun sebelum berkahwin, Tuanku panggil saya Ji (Zizi) dan saya pangil Tuanku ‘Alam’ atau ‘Lam’. Tapi saya rasa Tuanku suka bila saya panggil ‘Bah’ (Babah),” titah Raja Permaisuri Agong.

Pasangan diraja ini telah berkahwin pada 6 Mac 1986. Baginda telah dikurniakan dengan empat orang putera dan dua orang puteri;

– Yang Mulia Tengku Amir Nasser Ibni Tengku Mahkota Tengku Abdullah, SIMP.

– Yang Amat Mulia Tengku Panglima Besar Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Tengku Mahkota Tengku Abdullah, SSAP.

– Yang Mulia Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Ibni Tengku Mahkota Tengku Abdullah.

– Yang Mulia Tengku Ahmad Ismail Muadzam Shah Ibni Tengku Mahkota Tengku Abdullah.

– Yang Mulia Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah binti Tengku Mahkota Tengku Abdullah.

– Yang Mulia Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah binti Tengku Mahkota Tengku Abdullah.

Raja Permaisuri Agong bersyukur dikurniakan suami yang baik hati, sentiasa bercakap dengan lemah lembut dan sepanjang 46 tahun mengenali Tuanku Abdullah, tidak pernah didengar baginda meninggikan suara.

“Tuanku ni baik. Hatinya cukup baik, tidak pernah gosip, ‘membawang’, tak pernah cakap orang jahat, tidak pernah komen, sentiasa bercakap lemah-lembut dan tidak kasar. Tuanku juga baik dengan semua orang dan layan orang tidak kira siapa pun mereka, terutama yang susah,” titah Raja Permaisuri Agong.

Sumber dari Diraja Pahang

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.