Terkini, S. Pavithra Tidak Mahu Ada Kaitan Lagi Dgn Youtube. Ibu Mentua Pavithra Akhirnya Bersuara

” Pavithra, tolong jangan padam video-video anda di Youtube. Semua rakyat Malaysia sayangkan anda, kerana diri anda menjadi diri sendiri.

” Kamu dah buat yang terbaik untuk membantu keluarga mencari rezeki. Kami semua sayang kamu.”

Demikian antara kata-kata semangat diberikan warganet yang terkejut selepas mengetahui kesemua video masakan dan video lain di saluran Youtube S. Pavithra sudah dipadam.

Malah rata-rata meminta Pavithra mengambil masa untuk bertenang dan menasihatinya supaya kembali selepas keadaan menjadi normal termasuk hubungannya dengan suami.

Tidak mahu ada kaitan lagi dengan Youtube

Bagaimanapun hari ini, S Pavithra dan M Sugu dilihat sudah membuat keputusan apabila memberitahu tidak mahu mempunyai kaitan lagi dengan YouTube.

Perkara itu juga menjadi punca pasangan terbabit memadam semua 98 video aktiviti dan masakan kendalian mereka di saluran ‘Sugu Pavithra’ semalam.

Bercakap kepada pemberita, Sugu, 29, berkata, mereka telah mengambil keputusan untuk tidak lagi terlibat dengan sebarang perkara yang boleh meraih perhatian umum.

” Kami buat itu (padam video) kerana tak nak sebarang kaitan dengan YouTube itu lagi. Biar kami satu keluarga biasa sahaja.

” Ramai YouTuber masakan dan yang hebat-hebat dan bagus ada tetapi kenapa kami jadi tumpuan. Biar kami beri perhatian pada keluarga,” katanya ringkas ketika dihubungi di sini hari ini.

Ditanya mengenai perancangan masa hadapan, Sugu menjelaskan perkara itu belum difikirkan lagi.

Kata-kata ibu mentua Pavithra

Sementara itu, Ibu Sugu, G Rajeswari, 55, ketika ditemui mengharapkan hubungan anak dan menantunya itu dalam keadaan baik setelah mengharungi pelbagai kejadian sejak beberapa hari lalu.

” Saya ada mengikuti perkembangan mereka di televisyen dan saya harap mereka dapat mengharungi cabaran itu bersama-sama.

” Sebagai ibu, semestinya saya berasa bimbang dengan keadaan mereka,” katanya ketika ditemui di Ladang Elphil di sini.

Tinjauan Sinar Harian mendapati rumah sewa pasangan itu yang baharu diduduki bulan lalu di Kampung Muhibbah di sini sunyi sejak semalam.

Semalam, Sinar Harian melaporkan semua video masakan dan aktiviti pasangan suami isteri, S Pavithra dan M Sugu di saluran YouTube ‘Sugu Pavithra’ telah dipadam.

Laman rasmi pasangan itu pada jam 7.30 malam tadi mendapati tiada lagi sebarang video dipaparkan.

Terdahulu, terdapat 98 video masakan serta aktiviti telah dikongsi dan diikuti lebih 785,000 pelayar.

Video terakhir mereka ialah percutian bersama keluarga di taman tema air popular dan menginap di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur yang meraih lebih 281,980 tontonan.

Pasangan itu mula mencipta saluran Sugu Pavithra sejak 28 Januari lepas dan perkongsian video masakan mereka telah memperolehi lebih 34 juta tontonan.

Semalam, pasangan ini menetapkan pendirian untuk menolak sebarang anugerah atau gelaran ikon dan hanya mahu memberi fokus kepada saluran YouTube mereka.