Tidak perlu cuti paterniti – Persatuan Majikan Malaysia (MEF)

KUALA LUMPUR: Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) tidak bersetuju dengan cadangan kerajaan untuk memberi cuti paterniti selama tiga hari kepada pekerja sektor swasta.

Pengarah Eksekutifnya, Datuk Shamsuddin Bardan, berkata pemberian cuti wajib selama tiga hari itu kerana isteri bersalin, memberi kesan kepada kos operasi syarikat.

“Alasan cuti selama tempoh itu boleh membina ikatan kekeluargaan utuh antara suami, isteri dan anak yang baru dilahirkan, perlu diubah dengan cara lain tanpa membabitkan sebarang kos di pihak majikan,” katanya.

Shamsuddin berkata, isu itu sebenarnya sudah dibincangkan panjang lebar di peringkat Jawatankuasa Teknikal Penasihat Buruh Kebangsaan dan majikan berpandangan cuti berkenaan sebenarnya meningkatkan kos operasi.

“Kita tahu hasrat untuk memberi cuti berkenaan kerana kerajaan mahu meningkatkan ikatan (hubungan) suami dengan isteri dan anak baru lahir.

“Bagaimanapun, kita rasakan ikatan berkenaan boleh ditingkatkan jika golongan suami ubah minda untuk membantu isteri supaya hubungan mereka lebih rapat dengan anak baru lahir, tidak semestinya dengan cuti tiga hari,” katanya.

Beliau berkata, cara lain ialah suami boleh sentiasa berdampingan dengan isteri dan anak baru lahir setiap hari selepas waktu bekerja, cuti hari minggu atau cuti umum yang tidak membabitkan kos.

“Kita juga sentiasa galakkan golongan lelaki yang bekerja agar ringan tulang bantu keluarga di rumah supaya hubungan dengan isteri dan anak lebih rapat. Cara ini paling sesuai,” katanya.

Isu akan dibentangkan di parlimen

Kelmarin, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar dilaporkan berkata, draf pindaan Akta Kerja 1955 sedang disiapkan dan akan dikemukakan kepada Jemaah Menteri bagi tujuan memperkenalkan cuti paterniti.

Draf itu kemudian akan dibentangkan di Parlimen selepas perbincangan dengan Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan, wakil kesatuan sekerja dan wakil majikan.

Ditanya sama ada pihaknya membuat bantahan, Shamsuddin berkata, perkara itu sudah dibangkitkan, namun kementerian terbabit tetap meneruskan cadangan itu yang disifatkannya lebih untuk meraih populariti sehingga mengabaikan implikasi kos dan kompetitif syarikat swasta.

“Bagaimana pula dengan pekerja asing? Adakah apabila mereka termaktub dengan cuti paterniti ini. Berbaloikan mereka balik ke negara asal untuk bersama-sama isteri dan anak baru dilahirkan? Apa rasionalnya? Apa tujuan asal cuti diberikan? Itu cuma tambah kos kepada majikan,” katanya.

Kesan positif cuti paterniti

Dalam pada itu, satu kajian yang dilakukan oleh Center of Economy and Policy Research menunjukkan MAJORITI majikan bersetuju bahawa pemberian cuti bergaji kepada pekerja akan memberi kesan POSITIF atau tiada kesan langsung kepada prestasi, moral dan produktiviti.

 

Sebenarnya, cuti bergaji untuk bapa bukan suatu yang baru. Negara negara maju lain menyediakan cuti bergaji penuh sehingga berminggu lamanya.

Di Malaysia, ada pula yang bimbang kerugian sekiranya bapa bapa baru ini di beri cuti . Bukannya lama! Minimum 3 hari sahaja.

Kerajaan akan bincang dengan semua pihak berkaitan

Kerajaan akan meneruskan siri perbincangan dengan semua pihak berkaitan, termasuk majikan, bagi mendapatkan kata sepakat berhubung cadangan memperkenalkan cuti paterniti kepada pekerja sektor swasta.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, mengaku walaupun wujud bantahan daripada majikan, perbincangan adalah jalan terbaik sebelum suatu keputusan dibuat.

“Memanglah ada kekangan dalam kalangan majikan. Dari segi cuti ini (paterniti), memang baik kalau dapat sebab kita akan datang sudah menjadi negara tua.

“Kita menggalakkan ramai dapatkan (melahirkan) anak. Jadi cuti ini boleh dipertimbangkan tetapi kita belum bincang secara terperinci (dengan semua pihak berkaitan),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia Aidilfitri di Muzium Diraja, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) dilaporkan tidak bersetuju dengan cadangan kerajaan untuk memberi cuti paterniti selama tiga hari kepada pekerja sektor swasta.

Pengarah Eksekutif MEF, Datuk Shamsuddin Bardan, dipetik sebagai berkata pemberian cuti wajib selama tiga hari kerana isteri bersalin itu akan memberi kesan terhadap kos operasi syarikat.

Ia susulan kenyataan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar, yang dilaporkan sebagai berkata draf pindaan Akta Kerja 1955 sedang disiap dan akan dikemukakan kepada Jemaah Menteri bagi tujuan memperkenalkan cuti paterniti.

Draf itu kemudian akan dibentangkan di Parlimen selepas perbincangan dengan Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan, wakil kesatuan sekerja dan wakil majikan.

Mengulas lanjut, Dr Wan Azizah berkata, kerajaan akan membuat rayuan kepada pihak swasta memandangkan cadangan sedemikian baik, terutama terhadap institusi kekeluargaan.

Sumber: berita harian & public health Malaysia

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.