Bimbangkan Keselamatan Syukur.. Ini Pesan Jurugambar The Kampung Boy Kepada Mereka Yang Ingin Mengambil Gambar Syukur Dan Kerbaunya

Jurugambar yang menjadikan pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Midin dan haiwan peliharaan ayahnya sebagai subjek hingga beliau dipilih sebagai penerima ‘Street/People Photographer of The Year 2018’ oleh Asian Geographic -Image of Asia 2018,  Nazri Sulaiman menasihatkan mereka yang ingin mengambil gambar agar berjumpa terlebih dahulu dengan bapa pelajar itu. Dia yang bimbang dengan keselamatan Muhammad Syukor Khamis, 14, menyarankan mereka yang yang ingin berbuat demikian boleh menghubungi abangnya melalui facebook Syukor Kampung Boy dan menasihatkan agar berjumpa keluarga remaja itu terlebih dahulu terutama bapanya dikenal sebagai Pak Khamis.

Ini sebab katanya, kebiasaannya Pak Khamis akan membawa tetamu ke kandang kerbaunya di Kampung Kubang Bujuk bersama Syukor.

“Walaupun kerbau-kerbau tu dah kenal dengan Syukor tetapi ia tetap haiwan jugak, faktor keselamatan tetap diutamakan. Sebab itu ayahnya mesti ada bersama,” katanya.

Menyifatkan keluarga Syukor sebagai orang baik-baik, beliau memberitahu Pak Khamis turut menyediakan bilik sewa di kawasan halaman rumahnya sebagai kemudahan kepada orang luar dari Terengganu yang datang melawat atau mengambil gambar.

“Jadi tak perlu nak sewa bilik hotel mahal-mahal di Kuala Terengganu. Tapi bilik-bilik tu standard jer lah ada katil dan kipas, lampu saja. Baru siap tu, bilik semua siap dah.

“Siap ada balkoni lagi boleh tengok haiwan-haiwan sambil tiup seruling lagu ‘Anak Gembala’,” katanya.

Melalui catatan dalam laman Facebook rasminya, Nazri Sulaiman berkata, Syukor bukan hanya berkawan dengan kerbau sebaliknya turut menjadikan haiwan lain seperti kambing, lembu, angsa dan burung sebagai sahabat.

“Diaorang bergurau macam kawan sekolah. Saya pernah tulis dahulu yang berbunyi ‘ Syukor ni anugerah Allah pada keluarga dia, sebab dalam sejuta orang pun susah nak jumpa budak macam dia.

“Saya pernah jumpa ketika travel di Indonesia dan Thailand seorang budak baik dengan seekor kerbau jinak yang telah dicucuk hidungnya. Itu biasa.

“Tapi tak pernah saya jumpa seorang budak yang boleh berkawan dengan 70 hingga 80 ekor kerbau (yang tidak dicucuk hidungnya) dalam satu masa. Mereka dah kenal dah dengan Syukor ni.

“Sesetengah kerbau ada namanya seperti Awang(dah mati), Semek, Baba dan kambing ni pun namanya Bo. Tengoklah gambar ni, kambing pun dia boleh ajak main gusti,” katanya merujuk kepada gambar Syukor bergurau dengan kambing dalam catatan facebooknya.

Syukur anugerah ALLAH

Sementara itu, ibu bapa Muhammad Syukur menyifatkan kelebihan anaknya berinteraksi bersama haiwan peliharaan adalah kurniaan ALLAH SWT dan ia tidak ternilai.

Khamis Jusoh, 63, berkata, dia tidak menyangka keistimewaan anak bongsunya berinteraksi dengan haiwan mampu mencetuskan fenomena luar biasa.

“Sebenarnya, semua anak kami termasuk dua anak perempuan memang boleh berinteraksi dengan haiwan terutama kerbau.

“Mungkin kali ini ia menjadi rezeki buat Syukur kerana haiwan ini nampaknya lebih menunjukkan rasa sayang ketika bersamanya.

“Syukur ini anugerah ALLAH kerana dia berkawan dengan semua haiwan termasuk kambing, lembu, angsa dan ayam kampung,” katanya yang memelihara ternakan sejak 30 tahun lalu.

Bercerita mengenai kehidupan harian Syukur, katanya, sejak dia dikenali, lebih 100 orang jurugambar dari dalam dan luar negara mengunjungi kediamannya untuk merakam gambar Syukur dan haiwan peliharaan.

“Memang kini jadual dia agak padat, ramai media yang datang untuk rakam gambar dam menemu bual dia.

“Namun, tumpuan terhadap pelajaran tetap diutamakan,” katanya yang kini mempunyai 115 kerbau, lebih 20 ekor kambing dan empat ekor lembu.Sementara itu, Syukur berkata, dia tidak menyangka aksinya bersama kerbau yang dirakam jurugambar menjadikan dia kini dikenali di seluruh dunia.

Anak bongsu dari lapan adik beradik ini berkata, rakaman gambar pertamanya mula diambil pada 2015 ketika dia berusia 10 tahun oleh seorang jurugambar dari Kelantan yang dikenali sebagai Yaman.

Selepas itu, katanya, dia dikunjungi beberapa jurugambar dari dalam dan luar negara untuk merakam aktivitinya bersama kerbau dan haiwan lain peliharaan bapanya.

“Masa saya darjah empat, ada orang datang ke rumah cari saya minta bergambar dengan kerbau. Waktu tu saya tak berfikir panjang dan terus sahaja penuhi permintaan itu. “Selepas itu, ramai juga yang datang untuk ambil gambar saya bersama kerbau dan bermain bersama haiwan ternakan yang lain.

“Tak sangka pula saya boleh popular sampai tahap ini,” katanya yang bertutur pekat dalam dialek Terengganu.

Syukor berkata, keinginan untuk mendekati haiwan itu bermula sejak berusia 6 tahun disebabkan sering mengikuti bapanya ke kandang kerbau di Kampung Kubang Bujuk, Kuala Terengganu.

“Dulu-dulu saya selalu tengok ayah saya bermain dengan haiwan peliharaan, saya pun rasa nak cuba.  Tak sangka pula haiwan ini suka bermain dan bermanja dengan saya.

“Dalam banyak-banyak kerbau, paling saya sayang ialah Awang, Semek dan Baba, malangnya ada antaranya dah mati,” katanya yang bercita-cita ingin menjadi penternak profesional.

Gambar Syukor bersama sekawan kerbau itu menjadi tular di media sosial setelah menjadi juara peringkat Asia selain turut tersenarai 20 gambar terbaik dunia.

Berita lanjut mengenai perkembangan terkini Syukur boleh dibaca melalui link ini:

Sumber: GPbestari

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.