“Doakan Yang Baik-Baik Untuk Saya” Diam-Diam Mimi Lana Naik Pelamin Ramai Sangka Dirisik Syafiq Kyle

TINDAKAN pelakon Mimi Lana memuat naik foto duduk di atas pelamin dengan tangan dihiasi inai mengundang ribuan komen serta ucapan tahniah daripada rakan selebriti yang menyangka dia sudah dirisik kekasihnya pelakon Syafiq Kyle.

Bimbang timbul salah faham berhubung perkongsiannya itu, Mimi atau nama sebenar Mimi Rozaiana Zainal Abidin tampil menjelaskan mengenai foto berkenaan.

Kata aktres berusia 25 tahun ini, gambar yang dikongsi itu bukanlah majlis perkahwinannya, sebaliknya hanya menghadiri hari bahagia saudara terdekat.

“Assalamualaikum, hai semua. Saya minta maaf berhubung gambar terbaharu, saya hanya meraikan sepupu kesayangan yang bernikah hari ini (Jumaat).

“Terima kasih semua kerana mendoakan yang baik-baik untuk saya,” katanya menerusi ruangan Instastory pada Jumaat.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by MIMS (@missmimilana)

Mimi sebelum itu berkongsi foto duduk di atas pelamin dan menunjukkan tangannya dihiasi inai seperti seorang pengantin baharu.

Pengurus Mimi Lana, Iman Tang menafikan sp3kulasi kononnya pelakon tersebut bakal bernikah, hujung minggu ini.

Khabar angin bermula selepas Mimi memuat naik foto di atas pelamin dengan tangan dihiasi inai, menyebabkan pengikut di laman sosialnya mula berteka-teki.

Iman berkata, Mimi hanya bergambar di pelamin pernikahan sepupunya.

“Bukan Mimilah. Kalau Mimi yang bernikah sudah tentu kami beritahu kepada semua. Itu pelamin sepupu dia.

“Takkanlah kalau Mimi bernikah kami tak bagitahu,” jawab Iman sekaligus menamatkan spekulasi yang sedang hangat menjadi bualan.’

Selain itu rakan media sempat menghubungi pengurus Shafiq Kyle, Shawn Amir yang turut memberikan jawapan serupa.

“Bukan, bukan majlis Syafiq dan Mimi,” jawabnya.

Gara-gara foto itu, rakan artis dan peminat menyerbu ruangan komen dengan meninggalkan ucapan tahniah.

Malah ada juga yang mengakui terkejut dan tidak menyangka dalam diam-diam Mimi sudah melangkah ke fasa baharu kehidupan.

Antara rakan artis yang mengucapkan tahniah ialah Scha Alyahya, Nad Zainal, Nabila Huda, Tiz Zaqyah, Hun Haqeem, Eyka Farhana dan Nora Danish.

Dalam pada itu, pelakon filem Pusaka ini berjanji akan berkongsi mengenai hari bahagianya apabila tiba waktu.

Mimi janji kongsi berita gembira apabila tiba masanya.

“Jangan risau, kalau ada berita gembira InsyaAllah pasti saya akan kongsikan dengan semua orang pada masa akan datang. Love you!” katanya.

Sebelum ini, hubungan cinta pasangan itu pernah dikatakan putus pada Mei tahun lalu selepas lima tahun melayari bahtera cinta.

Biarpun tidak menyatakan secara rasmi kembali bercinta, namun menerusi beberapa perkongsian Mimi di Instagram beberapa bulan lalu bagaikan mengesahkan cinta bertaut semula.

Bagaimanapun, sehingga kini kedua-duanya masih mengunci mulut dan tidak terbuka bercerita mengenai perhubungan mereka.