“Harap dia sudi terima..” Usahawan mahu hadiahkan kereta kepada ‘Abang Viva’

Menerusi satu posting di laman Facebook, usahawan berusia 25 tahun tersebut memohon bantuan warganet selepas dirinya gagal menghubungi Azwan yang dipercayai sedang sibuk menjayakan misi di sekitar Pahang.

Seorang usahawan produk kosmetik, Sha Hasan menyatakan hasrat bagi menghadiahkan sebuah kereta baharu kepada lelaki yang tular selepas menyelamatkan mangsa banjir, Azwan Omar atau ‘Abang Viva’.

Sha berkata, inisiatif tersebut sekali gus dapat memudahkan niat murni lelaki dari Melaka itu dalam membantu lebih ramai mangsa terjejas termasuk sebarang situasi di masa akan datang.

Posting berkenaan dikongsi sebanyak 1,000 kali serta ratusan komen netizen yang menyambut baik hasrat ibu kepada seorang cahaya mata itu selain mendoakan Sha dilimpahkan rezeki berlipat kali ganda.

Selain itu, ada juga segelintir individu berharap supaya orang ramai memberikan masa dan ruang buat Azwan sekiranya mahu menyumbangkan sesuatu selepas nama lelaki itu ‘trending’ di semua platform media sosial.

Semalam, seorang pengguna Twitter @ushardaniele yang juga wartawan memaklumkan pihak Perodua mencari Azwan namun tidak menyatakan lebih lanjut mengenai tujuan tersebut.

Sumber: Facebook Sha Hasan , Twitter @ushardaniele

‘Abang Viva’ Tular! Tambat Bot Atas Bumbung Kereta dari Melaka Nak Selamat Mangsa Banjir

KINI trending di media sosial! Seorang pemandu Perodua Viva kini tular selepas nekad memandu dari Melaka ke Shah Alam, Selangor dengan menambat bot memancing atas bumbung keretanya semata-mata untuk membantu mangsa banjir.

Malah, Azwan Omar, yang kini popular sebagai Abang Viva, bukan saja membawa botnya ke Shah Alam, termasuk kawasan paling teruk terjejas, Taman Sri Muda, tetapi turut dilaporkan muncul di Puchong.

Apabila foto dan videonya tular, ramai menggelarkan lelaki itu sebagai wira tak didendang (unsung hero) dan tidak kurang yang membandingkan tindakannya dengan sesetengah pihak berkuasa di Malaysia yang dianggap lambat bertindak.

Tak perlu jadi menteri, Tak perlu jadi YB, Cukup punya hati dan empati. Naik Viva je!! Kayangan people please learn something from this,” kata salah seorang netizen.

Terbaharu, viral pula tulisan mendedahkan apa dilakukan Abang Viva itu, ditulis Abdél Rahmanovyang mendapat lebih 2,000 perkongsian. Abang Viva dikatakan sanggup memohon cuti kecemasan dan hanya berbekalkan RM50 dari Melaka untuk menyelamatkan mangsa banjir.

* Berikut tulisan asal penulis tanpa suntingan supaya dapat mengekalkan gaya bahasa. Pautan asal ada di akhir artikel.

Saya cukup tersentuh membaca kisah Abang Viva yang datang dari Melaka untuk menyelamatkan mangsa banjir di Shah Alam. Kisah Abang Viva seperti berikut:

1. Abang Viva ini bernama Azwan Omar yang datang dari Melaka ke Shah Alam dengan menggunakan kereta Viva dan membawa sebuah bot di atas bumbung keretanya.

2. Dia hanya berbekal duit sebanyak RM50. Dia beli minyak untuk bot sebanyak RM20 dan RM30 lagi untuk makanan seperti roti dan air untuk alas perut.

3. Dia bekerja sebagai operator mesin dan memohon cuti kecemasan dari majikannya untuk ke Shah Alam bagi menyelamatkan mangsa banjir.

4. Antara mangsa banjir yang diselamatkan ialah pasangan warga emas termasuk suami yang lumpuh dan seorang ibu dengan bayi yang baru dilahirkan.

5. Sejak lima hari lepas, Abang Viva hanya alas perut dengan makan roti dan air serta tidur dalam botnya. Namun dia terus kental untuk selamatkan mangsa-mangsa banjir.

6. Cerita dia tersebar menyebabkan orang ramai menderma wang kepadanya. Namun dia agak keberatan mahu menerimanya dan menderma sebahagian besar wang itu kepada NGO-NGO lain.

7. Abang Viva berkata, “Saya datang nak tolong dengan ikhlas tak harap apa-apa pun. Saya pun tak minta untuk jadi viral sampai macam ni, orang masuk dalam Internet semua. Jadi sumbangan yang saya terima itu saya akan salurkan semula kepada mangsa banjir”

8. Hebat betul kisah Abang Viva ini. Dia hanya orang biasa tanpa pangkat dan gelaran. Tetapi jiwanya amat luar biasa. Dia di antara hero yang tidak dikenali tetapi kaya jiwa dan budi.

9. Moga Allah memberkati dan memberi kekuatan atas usaha Abang Viva menyelamatkan mangsa banjir. Abang Viva hero kami!

Inilah dikatakan insan kecil berjiwa besar yang sentiasa senang hati membantu tanpa mengharap balasan. Kita doakan saudara Azwan terus diberikan kesihatan yang baik dan kudrat yang kuat untuk membantu mangsa banjir.