Mejar Dari Kedah Ini Bongkar Kisah Kehebatan Ranjer Malaysia Dari Borneo Yang Pernah Melatih komando-komando 20 negara didunia.

Kisah Tentera= Askar Renjer mahaguru hutan

Renjer ini ialah kembar Askar Melayu, sama-sama askar perang (infantri). Dalamnya semua bangsa ada, tapi dalam kisah ini, saya akan ketengahkan orang-orang Iban, Dayak, Melayu Sarawak, dan suku2 di Borneo yg saya pernah bersama mereka. Ok kita mula cerita= “pada zaman dahuluuuuu…” hehehehe.

Waktu saya umur 17 tahun, saya dah jadi jurulatih Silat Gayong di Kedah. Guru saya iaitu abg jebat, selalu bawa kami yg duduk di rumah tok majid, panjat Gunung Jerai untuk cari akar kayu seperti tongkat ali, urat dawai, pokok kedudup, dan macam2 lagilah jenis akar dan pokok hutan nak buat ubat. Kiranya panjat bukit gunung dan hutan semua tu, saya ok jugaklah.

Lepas masuk askar dan lulus kadet di New Zealand, dah jadi Leftenan Muda, saya masuk ke pasukan Askar Melayu. Buat operasi hutan berbulan di Gubir dan operasi lain lagi. Jadi kononnya ilmu hutan saya dah mantaplah kan? Maklumla, darah muda waktu tu, berlagak la jugak.

2001, dipindahkan masuk Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA) di Johor sebagai jurulatih. Terus kena lapor ke Cawangan Pakar Peperangan Hutan.. jumpa Ketua Cawangan itu, (mendiang) Mejar Johnson anak Mileng dengan jurulatih-jurulatih (JL) dibawah dia. Majoriti mereka dari berbagai suku kaum dari Borneo dan mereka ialah Renjer! Mereka semua pelajaran tak tinggi pun, badan ‘pendek-pendek tagap-tagap’ (orang borneo jangan marah ye hehehe) Wahhh, ini kali pertama saya kerja dengan askar Renjer. Teruja!

Mej Johnson tanya apa saya tahu pasal hutan, jadi saya dengan bangganya cerita pengalaman dan ilmu saya. Dia pandang saya sebelah mata je sambil senyum, “Kau masuk kursus ‘combat survival’ siri depan, kau join kursus yg nak jalan tu, jadi student”… Dalam hati saya ‘Laaa, apahal pulak aku nak kena kursus, kan aku patutnya jadi pegawai dan jurulatih, bengong punya iban!’

Dah dipaksa masuk kursus. Yg bersama jadi student macam saya ialah beberapa askar Malaysia dan askar-askar pasukan khas dari luar negara. Semua pangkat ada.. Baru saya tahu, seksanya!!! Kena kenal dan hafal 73 jenis akar dan pokok yg berguna/ dimakan/beracun/ berubat…

Lepas tu kena campak dalam hutan 10 hari HANYA sehelai sepinggang dan satu parang pendek / pisau. Itu saja! Pandai-pandailah nak hidup. Bayangkan, kalau korang puasa sehari dari pagi sampai petang pun badan dah lembik, ini pula 10 hari tanpa makan minum dan tanpa segalanya. Macam nak gila dah otak, kelam kabut buat tempat nak berlindung, reka api dan paksa diri makan segala benda pelik-pelik (saya tak mahu cerita, nanti korang muntah) Jurulatih buat bodoh je, sikit pun tak tolong. Dia cuma cakap, “Dah belajar di kem hari tu kan? Buatlah sendiri” … Badan saya makin hari makin lemah dan sakit tersiksa

Ingatkan dah habis, kami dibawa naik bot ke sungai johor. Besar sungai tu, kami dicampak ke paya penuh pokok duri mengkuang! Paya tu berselut tebal berduri air keruh. Waktu air surut, setakat pinggang saya, waktu air pasang dalam sampai leher saya. Bayangkan sehelai sepinggang kena cepat-cepat buat pondok atas pokok sementara air surut. Basah lencun menggigil kami 24jam dengan tak makan, sakit badan dan seminggu siksa!

Yg takutnya, waktu air pasang, gelap gelita waktu malam, buaya datang lalu dekat kami. Dah habis seminggu, kena pulak buat 1 rakit dengan berpuluh pokok mengkuang berduri tu (untuk bawa 2 orang je pun tiap rakit) dan keluar kayuh sendiri dari kawasan paya neraka itu.. Badan dan otak saya dah lemah, tak boleh nak terima dah waktu hari terakhir

Jujur saya cakap, lepas habis dan lulus kursus itu, saya jadi macam orang hilang akal, bercakap sorang diri, tidur makan tidur makan selama 4 hari. Mej Johnson senyum dan tanya saya, “Sekarang, kau kata kau pandai ilmu hutan?”.. saya tunduk dan hanya geleng kepala. Malu.

Rupanya orang Iban, Dayak serta suku-suku dari borneo ini, cukup pantang kalau orang berlagak lebih lagi hal hutan. Mereka ini jenis tak banyak bercakap. Tapi sebenarnya, merekalah orang yg palinggggg baik dan lemah lembut kalau awak baik dengan mereka. Kalau awak buat pasal dan berlagak, kau tunggu je la nasib kau. Itulah mereka, Guru TERBAIK!

Lepas itu, baru saya tahu, yg Mejar Johnson ini adalah ketua team ‘Iban Tracker’ yg buat tugas2 operasi khas, waktu zaman komunis. Terlalu banyak kisah tentang dia. Dan jurulatih-jurulatih lain memang dipilih untuk masuk Rejimen Renjer DiRaja (RRD) atas kepakaran luarbiasa mereka. Respek!

Askar Renjer mahaguru hutan. (Bahagian akhir)

Jurulatih2 pakar hutan itu, bukan semuanya Renjer (RRD).. ada juga RAMD, Armor, Wataniah. Tapi paling ramai ialah Renjer. Dan kisah ini pun tentang Renjer. Mereka telah mengajar komando-komando dari 20 negara didunia termasuk negara kuasa besar. Boleh google saja, nanti nampak negara yg pernah belajar dengan Cawangan ini.

Ok… Gambar sekadar hiasan.. Sambungan dari bahagian yg lepas. Ini panjanggggg, jadi baca perlahan-lahan =

ILMU YG DIRAHSIAKAN

“Tuan dah habis kursus kan? Sekarang masa kami ajar tuan pulak. Tuan itu nak jadi pegawai latih kami nanti. Letak tepi buku rujukan, ikut kami. Lepas ini semua ilmu yg tak ada dalam buku” kata-kata dari jurulatih kanan iaitu encik Azhar.. Alamak, tak habis lagi ke ilmu dalam kursus tu? Mulai hari itu saya diajar pulak oleh jurulatih2 (JL) Renjer.

JL bawa saya ke mini zoo dalam kem. Macam-macam binatang ada situ yg ditangkap dan dibela oleh cawangan pakar hutan ini. Mereka paksa saya ‘berkenalan’ dengan binatang2 tu semua… alamak, memang saya suka binatang, tapi ni semua binatang buas!

– Ada seekor beruang betina, namanya Sonia.. Kalau dia berdiri, setinggi saya. Kuku panjang setengah jengkal, suka minum susu pekat. JL buka pintu kandang, suruh saya pergi pegang sonia! Menggeletar oii, hilang hensem saya waktu tu. Saya buat je lah. JL dengan selamba je bukak paip air dan mandikan sonia tu. Sonia ini mereka dulu tangkap merayau tepi hutan. Tetap tak jinak tapi JL kata mereka dah lemahkan dengan ilmu (……)

– Ada seekor buaya tembaga, JL suruh saya tarik buaya tu keluar dari air dan tutup mata dia. Pucat saya.. Yg peliknya, geng renjer ni, selamba saja tangkap buaya tu siap tampar buaya tu kalau degil

– Binturong, monyet, landak, biawak, memerang… eh, semua binatang di mini zoo itu semua saya kena ‘berkenalan’. Ini dah macam membuli tapi saya tak kisah, sebab saya nak belajar ilmu.

– Ular.. bab ini saya lemah ni. Tapi satu JL Renjer ini ajar saya tangkap ular dan jinakkan ular. Dia lepaskan ular sawa besar dari kandang, lepas tu suruh saya tangkap dengan tangan sambil dia ajar. Dapat la dua tiga kali kena patuk siap tangan berdarah luka dan saya kena belit. Ada satu masa, encik Azhar nampak anak ular sawa panjang 3 kaki, dia tangkap, kepal-kepal macam kueh, terus letak dalam poket seluar macam tak ada apa berlaku.. Terkebil-kebil mata saya. Paling saya tak tahan, depan mata saya ada seorang JL Renjer itu lompat keluar dari ‘land rover’, lari masuk hutan seorang diri, sebab kejar ular tedung! Selamba je dia tangkap, jadi bodoh ular tu. Entah apa ilmu dia pakai.. Ni semua kerja gila! Tapi lepas dah belajar ilmu itu, ularlah yg paling saya suka bela, manja yg amat, kalah kucing. Tapi ular sawa sajalah, 5 ekor saya bela dalam bilik tidur saya.

– Lepas itu JL ajar saya pula ilmu mengesan (tracking) laluan/tapak dalam hutan. Yg ini nampak mudah, tapi siksanya berpinau mata nak dapat ilmu tu. Yg ini saya tak mahu kisah panjang, sebab ianya rahsia-rahsia kelebihan tentera kita. Kemudian saya diajar pulak oleh JL Renjer teknik berjalan senyap sunyi dalam hutan. Memang peritlah saya, susah rupanya nak jadi ‘hantu’ dalam hutan yg bergerak tanpa tinggal apapun kesan! JL tu cakap, “tuan, cuba tengok rusa. Rusa ada tanduk cabang-cabang, tapi tak ada pun tersangkut sini sana atau jalan berbunyi. Bodoh punya pegawai”… Malu saya pada dia. Lepas dah lama, baru dapat ilmu tu.

– Yg ini ada satu ilmu pelik.. ada JL Renjer itu, dia ada ilmu pati geni. Dia boleh seru panggil binatang untuk keluar dari hutan dan mengadap menyerah diri pada dia. Pernah saya tengok dia berdiri tepi hutan, dia seru kijang keluar.. tak lama, seekor kijang datang serah diri pada dia untuk disembelih. Beliau belajar dari seorang tua yg duduk di ceruk dalam hutan Endau. Ilmu ini dia nak ajar saya, tapi saya tak mampu bawa walaupun saya tahu. Rezeki orang lainlah tu.

– Paling saya ingat, Mej Johnson ajar saya macam mana nak tengok semut dan daun, dan juga bunyi burung tertentu untuk tahu siapa didepan kita, belakang kita, tepi kita. Dia kata, ini ilmu orang iban yg dah lamaaaa dulu. Dia ajar juga ilmu itu pada saya.

Jujur dari saya.. walau banyak saya belajar waktu itu, banyak juga saya dah lupa semua itu sekarang. BANYAK SANGAT ilmu-ilmu rahsia yg tak ada dalam buku, yg askar-askar Renjer ini pegang. Saya tak mampu ingat .. Tapi dalam hati saya, respek dan hormat saya pada Renjer dan pakar-pakar hutan kita yg lain. Saya tabik anda semua!

Pada September 2001, kami buat persembahan dan demontrasi survival terbesar di Asia. Kami buat di Hutan Rimba Komanwel, Rawang. Ini sempena persidangan semua jeneral dari 29 negara di Asia Pasifik di Kuala Lumpur.

Kami dari Johor dibantu oleh satu platun dari 6 RRD diketuai oleh Lt Kol Loh Kooi Long (sekarang beliau dah naik Brigedier Jeneral. Alaa, yg korang viralkan konon cina naik jeneral itu. Dia orang yg amat baik dan juga pakar survival hutan! Saya respek pada dia)

Kami bina sebuah dewan dari pokok-pokok hutan yg boleh muat 100 orang, tanpa paku!.. Dan kami buat mini zoo yg ada macam2 binatang yg saya cerita tadi. (dibawa dari johor naik trak. Kerja gila kami buat, binatang pun jadi sewel macam kami hehehe). Selama sebulan siang malam kami kerja keras nak buat persiapan. Hasilnya… semua jeneral di Asia dan Pasifik ini, amat kagum tengok ilmu yg kita ada. Nama Malaysia amat tinggi ketika itu.

Sudahlah ye.. panjang sangat dah ni. Kisah lain saya cerita diwaktu lain, insyaAllah. Tengok keadaan. Tentang kisah tentera elit terkenal didunia yg berlagak, tapi dah dimalukan oleh Renjer kita itu, lain kalilah saya cerita. Kerana malu sungguh mereka nanti .

Akhir kata, saya masih ingat luahan terakhir Mej Johnson= “Fitri.. aku ni, dah ajar beribu ‘mat saleh’ dan orang negara luar ilmu hutan dengan ilmu perang dalam hutan. Tapi tak semua, aku bukan bodoh nak ajar semua ilmu kita. Aku bagi yg mudah je, yg lain aku tak ajar, tak letak dalam buku. TAPI paling aku sedih ramai anak muda kita sendiri tak mahu belajar dah benda macam ni.. sampai pokok senduduk dan daun kapal terbang tepi rumah sendiri pun mereka tak kenal dah. Mati je aku dan budak-budak aku ni, habislah kita. Aku harap anak-anak murid aku je terus sampaikan ilmu2 ni semua”
(Mejar Johnson anak Mileng, meninggal dunia sebab sakit paru-paru beberapa bulan lepas itu, di tahun 2002)

Pengajaran= Askar Renjer kita memang amat pakar, dihormati dan disegani seluruh dunia. Mereka banyak ilmu yg sengaja tak diletak dalam buku. TAPI makin hari makin sedikit jumlah pakar hutan kita… Untuk anak-anak muda sekarang, semua bangsa, kena belajar dan tahu ilmu-ilmu datuk nenek moyang kita. Jangan sampai kita terpaksa belajar ilmu survival hutan dan ilmu perang di hutan dari orang luar negara pulak! Kalau kamu tak kenal hutan kamu, siapa lagi? Sedarlah wahai anak Malaysia.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*