“Saya juga dulu bukan baik sangat”, Saharul Ridzwan tak nak hakimi’ kesilapan orang lain

PERUBAHAN diri yang kini aktif menyebarkan dakwah bukan tiket Saharul Ridzuan menilai kesilapan orang lain terutamanya rakan artis.

Saharul, 33, berkata, dia juga bukanlah orang yang baik namun bersyukur tidak pernah melakukan babak keterlaluan sepanjang 10 tahun bergelar pelakon.

“Apabila kita sudah berubah, ada masa terdetik dalam hati untuk menghakimi orang lain apabila melihat seseorang itu buat salah.

“Tetapi melihat kembali drama yang pernah saya lakonkan sebelum ini ia bagaikan satu peringatan bahawa dahulu juga saya bukanlah seorang yang baik.

“Saya juga bersyukur kerana dalam tempoh berlakon dahulu tidak pernah ada babak keterlaluan, cuma ada sedikit berpegangan tangan dengan wanita.

“Allah masih menjaga aib saya. Namun takut juga secara tiba-tiba Allah buka semua kisah yang boleh menjatuhkan aib,” katanya.

Saharul yang kini telah berubah dan lebih mendekati agama juga tidak mahu terus berhenti dari dunia lakonan.

Sebagai anak seni yang cuba menyampaikan dakwah dan kebaikan, Saharul berpendapat tidak ada masalah untuk terus aktif dalam dunia seni.

“Saya sudah lama dalam industri ini. Jadi kalau tidak berlakon akan terbit rasa rindu.

“Berlakon tidak semestinya perlu adegan cinta sahaja. Saya masih terbuka menerima tawaran tetapi haruslah yang sesuai,”jelasnya.

Pelakon drama Hati Perempuan ini ditemui ketika majlis pelancaran restoran miliknya yang terletak di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur pada Rabu.

Restoran yang diberi nama Human Gang itu merupakan usahasama Saharul bersama Nabil Ahmad dan dua lagi rakan kongsi.

Sebagai sebuah restoran yang menyajikan hidangan barat dengan citarasa tempatan, Saharul dan Nabil amat menitik beratkan setiap juadah yang tersenarai dalam menu.

“Sebelum membuka restoran ini kami ada panggil beberapa orang cef untuk bekerja. Jika masakan itu rasanya sama seperti kebanyakan restoran dan hotel kami akan tolak.

“Kami berjumpa dengan seorang cef yang betul-betul boleh menepati citarasa kami. Maklumlah kami empat orang punya selera yang berbeza” ujarnya.

Sumber: Mstar