Bermodalkan RM3000, wanita ini raih hampir RM400,000 sebulan jual nasi lemak

RASULULLAH SAW pernah bersabda bahawa 9 daripada 10 punca rezeki datangnya daripada perniagaan, jadi tidak hairanlah semakin ramai yang memilih untuk menceburi dalam bidang perniagaan.

Siapa sangka dengan hanya modal RM3,000, penjual nasi lemak ini mampu menjana pendapatan hampir RM400,000 sebulan. Paling penting, peniaga ini tidak membuat sebarang pinjaman daripada mana-mana bank dan hanya menggunakan modal sendiri.

Penjual nasi lemak tersebut, Saleha Abdullah mula berniaga di sebuah kedai kecil di tepi jalan 10 tahun lalu dan ketika itu dia bekerja dengan arwah ibunya. Kemudian dia membuka sebuah kedai kecil di Kampung Pandan dan jualan nasi lemaknya mendapat sambutan luar biasa.

“Idea ini datang dari suami saya sendiri, masa itu saya bekerja dengan arwah mak, kedai kecil itu, dah 30 tahun lebih semasa arwah mak saya ada.

“Kemudian suami meminta saya untuk menjual nasi lemak di Kampung Pandan. Saya pun mula buat pada peringkat permulaan dalam sekilo beras sahaja. Ia habis dijual dan jumlah itu meningkat dari hari ke hari.

“Bermula 2009, saya gunakan modal RM3,000 itu sebagai modal pusingan dan saya konsisten, cermat dalam setiap duit yang dikeluarkan. Akhirnya, saya boleh buka kedai tepi jalan secara kecil-kecilan dan ada 20 pekerja,” katanya.

Tahun demi tahun, peniagaannya semakin berkembang dan hasil usahanya, Saleha mampu membeli sebuah bangunan di Sri Rampai, Wangsa Maju bernilai RM3.8 juta dengan bantuan Amanah ikhtiar Malaysia dan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB).

Katanya, idea untuk membuka kedai lebih besar adalah daripada anak lelakinya, Mohd Rizal Isa yang sanggup meninggalkan kerjaya sebagai doktor untuk mempelajari selok-belok perniagaan.

Kini, Nasi Lemak Saleha mempunyai 60 kakitangan dan pendapatan hariannya boleh mencecah sehingga RM12,000.

Menurut Saleha, tiada apa yang istimewa tentang nasi lemak yang dijualnya, tetapi masak dengan ikhlas dan niat untuk mencari rezeki dengan cara betul.

“Tiada apa yang unik tentang nasi lemak ini, cuma masak biar betul, hati biar ikhlas, jangan sebab harga barang naik, kita kurangkan bahan dalam masakan, orang akan lari,” katanya.

Bagi yang tidak tahu dimana lokasi kedai Nasi Lemak Saleha ianya terletak berhampiran Lebuhraya MRR2, anda boleh juga berkunjung ke sebuah lagi cawangan di Sri Rampai. Nasi Lemak Saleha beroperasi setiap hari bermula 6 pagi sehingga 1 pagi.

 

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*