Dr M Seakan Beri Bayangan Siapa Yang Bakal Jadi PM ke 8, ‘Jika Semua Pilih Muhyiddin Saya Okay’

Sehingga kini rakyat masih ternanti-nanti kesudahan kemelut penjajaran semula kuasa politik negara yang sudah memasuki hari kelima. Ia bermula dengan cubaan mengalih kuasa yang gagal pada Ahad lalu.

Sebelum ini perdana menteri interim, Dr Mahathir Mohamad, membayangkan apa akan berlaku dalam tempoh sehari dua ini, iaitu membentuk kerajaan yang melangkaui sempadan parti.

Ia bagaimanapun tidak dipersetujui beberapa pihak.

Sejak itu rakyat masih berteka-teka apa akan berlaku dan siapa berkemungkinan dilantik sebagai perdana menteri ke-8.

Hari ini Tun Dr Mahathir Mohamad memberitahu beliau bersetuju sekiranya Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin mendapat sokongan majoriti dan dilantik menjadi perdana menteri kelapan.

” Ada kemungkinan beliau dicalonkan (jadi PM). Jika semua pilih Muhyiddin, saya OK.

” Jika beliau diberi majoriti di Parlimen dan Yang di-Pertuan Agong melantik beliau, mengangkat sumpah dan semestinya dapat membentuk barisan kabinetnya,” katanya pada sidang media, petang Khamis.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai pandangannya terhadap Muhyiddin yang dinamakan sebagai calon perdana menteri yang seterusnya.

Walaupun belum memutuskan mengenai gabungan kerajaan baharu, Dr Mahathir yang kini merupakan perdana menteri interim berkata, beliau tidak akan menerima Umno sebagai parti komponen.

” Tapi saya boleh terima ahli yang tidak puas hati dengan Umno.

” Tapi Muhyiddin lebih relaks mengenai perkara itu dan dapat menerima mereka (ahli Umno) secara menyeluruh,” katanya.

Menurut Dr Mahathir, beliau tidak akan menjadi perdana menteri seterusnya sekiranya tidak dinamakan sebagai calon.

” Siapa pun yang menang, saya akan terima,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata, pertemuan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa bersama 221 ahli parlimen tidak mendapat kata putus calon perdana menteri yang menerima majoriti mutlak.

” Sehubungan itu, Dewan Rakyat akan bersidang pada 2 Mac untuk menentukan siapa yang mendapat sokongan majoriti untuk menjadi perdana menteri seterusnya.

” Jika masih gagal mendapat majoriti mutlak, Malaysia perlu melalui pilihan raya tergempar,” katanya.

Dr Mahathir Mohamad sebelum itu turut menjelaskan bahawa Yang di-Pertuan Agong mendapati tidak ada seorang pun pemimpin yang mempunyai majoriti mutlak untuk membentuk kerajaan.

” Dan kerana tidak ada majoriti jelas, (Seri Paduka) kata forum yang sesuai adalah Dewan Rakyat.

” Jadi parlimen akan bersidang pada 2 Mac (Isnin depan)… siapa yang ada sokongan majoriti di Dewan Rakyat akan menjadi perdana menteri seterusnya.

” Bagaimanapun, jika Dewan Rakyat gagal mendapat seorang yang ada majoriti, kita perlu lalui pilihan raya,” katanya pada sidang akhbar di Putrajaya.

Mahathir pagi tadi mengadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, Kuala Lumpur.

Pada Selasa dan Rabu, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menemu bual semua ahli parlimen secara individu susulan kemelut politik negara.

Seri Paduka mahu mendengar sendiri pandangan setiap mereka dalam mencari penyelesaian terhadap kemelut tersebut.

Persidangan dengan Raja-raja Melayu dijadualkan esok.

Parlimen pada asalnya dijadualkan bersidang semula pada 9 Mac, tetapi tarikh berkenaan telah dianjakkan lebih awal untuk menyelesaikan kebuntuan politik saat ini.

Mahathir mahu membentuk kerajaan perpaduan yang meletakkan “kepentingan negara di atas garis parti”.

Ditanya mengenai bagaimana ini akan berfungsi, Mahathir berkata sesiapa yang dipilih sebagai perdana menteri boleh melantik kabinet berdasarkan siapa yang mereka mahukan.

”  Dia boleh memilih sebarang anggota tanpa ikatan dengan mana-mana parti… (mereka akan berada dalam kabinet) sebagai individu dan tidak dilihat sebagai wakil parti masing-masing,” katanya.

Beliau menambah bahawa ahli parlimen Bebas juga boleh dipertimbangkan jika mereka layak.

Mahathir berkata Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin juga telah berbincang dengannya mengenai kemungkinan dirinya menjadi calon perdana menteri.

PH pula sebelum ini menamakan Presiden PKR, Anwar Ibrahim sebagai calon mereka.

Sebelum ini, Umno dan PAS menarik semula sokongan mereka terhadap Mahathir kerana membantah model kerajaan individu itu. Mereka sebaliknya mahu pilihan raya umum diadakan.

Apa Kata Anda? Dah Baca Jangan Lupa Komen Yang Baik-Baik Sahaja Dan Share Ya. Terima Kasih.

Sumber : mstar dan malaysiakini

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.