Kesihatan Muhammad Adib Semakin Merosot – IJN

Keadaan kesihatan Muhammad Adib Mohd Kassim, anggota bomba yang cedera parah dalam  pergaduhan di Kuil Sri Maha Mariamman, semakin merosot dan fungsi paru-parunya mengalami penurunan beransur-ansur sejak 24 jam lepas.

Institut Jantung Negara (IJN), dalam kenyataan berhubung perkembangan terkini Muhammad Adib berkata selepas menjalankan penilaian menyeluruh, paru-paru anggota bomba itu didapati menunjukkan tanda-tanda konsolidasi  dan pengerasan tisu, justeru menjadikan  pertukaran gas tidak berkesan.

“Ini adalah akibat daripada kecederaan awal yang teruk pada paru-parunya. Pada masa sama, fungsi buah pinggangnya juga tidak menunjukkan peningkatan di mana beliau terus memerlukan sokongan dialisis,” menurut kenyataan itu.

Berikutan perkembangan itu,dan selepas perbincangan pasukan pelbagai disiplin,  IJN berkata keputusan dicapai untuk memasukkan semula sistem Veno-Venous ECMO pada jam 9 malam tadi untuk membantu keperluan sistem pernafasannya.

“Muhammad Adib sedang tenat. Berikutan keadaan  Muhammad Adib itu, kunjungan ke atasnya dihadkan. Kami menggesa semua rakyat Malaysia terus berdoa agar Muhammad Adib segera sembuh,” jelas kenyataan itu.

— BERNAMA

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*