Kisah Ibu 11 Anak Terputus Hubungan Dgn Suami Yg Berada di Sabah, LZS Tampil Jelaskan Perkara Sebenar

” Ada satu keluarga asnaf ini, anak-anak dia ada 11 orang. Nak dijadikan cerita, suami dia sekarang di Sabah balik sana beberapa bulan lalu sebab nak jaga ayah dia yang tengah sakit.

” Lepas itu telefon suami dia jual, jadi tak dapat hubungi sampai sekarang. Tak pasti apa sebab dia jual.Jadi tinggallah bini dia dengan anak-anak 11 orang ini di Shah Alam ni..

” Dengar kata bulan 12 ini last dah dorang tinggal kat situ sebab tak dapat bayar sewa, so kena cari rumah sendiri. Tapi sekarang ni dia nak makan dan beli susu pun tak mampu sebab memang tiada langsung pendapatan.”

Demikian satu perkongsian di Facebook yang tular beberapa hari lalu berhubung kisah seorang ibu 11 anak terputus hubungan dengan suami yang berada di Sabah.

Pihak Lembaga Zakat Selangor beri penjelasan perkara sebenar

Skuad Saidina Umar (SSU) menerima info aduan menerusi hantaran ”Facebook” orang awam mengenai sebuah keluarga yang diceritakan sangat susah di mana suami telah terkandas di sabah, manakala isteri dan 11 orang anak berada di Selangor dan hidup dalam kesusahan.

Aduan ini telah diterima pada jam 1.10 pagi dan pihak kami segera memberikan maklum balas pada pemilik hantaran post FB tersebut mendapatkan maklumat lanjut keluarga ini.

Hasil siasatan pihak Operasi Agihan Daerah Klang, disahkan keluarga ini adalah asnaf miskin di bawah seliaan Lembaga Zakat Selangor sejak tahun 2015.

Mereka menerima bantuan kewangan bulanan, bantuan sewa rumah, bantuan persekolahan dan bantuan hari raya tahunan. Mereka juga menerima bantuan bulanan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Suaminya telah pulang ke Sabah beberapa bulan lalu kerana menguruskan ayah yang sedang sakit di sana.

Siasatan kami juga mengesahkan bahawa pasangan ini masih dapat menghubungi antara satu sama lain dan tiada isu terputus hubungan kerana telefon dijual seperti yang didakwa dalam hantaran asal.

Suami juga masih memberikan nafkah dan sentiasa mengambil berat keperluan keluarga.

 

Mengenai isu sewa rumah pula, pihak kami telah menghubungi tuan rumah dan dimaklumkan tidak wujud sebarang isu akan dihalau kerana tuan rumah sangat memahami keadaan keluarga ini.

Keluarga ini mengucapkan terima kasih kepada yang membantu, dan berharap tidak berlaku salah faham serta penularan kisah yang tidak benar mengenai keluarganya.

Gambar-gambar yang tersebar juga memberikan kesan negatif pada anak-anak yang kian membesar kini. Perasaan malu pada rakan-rakan akan wujud.

Oleh itu, kami kongsikan kisah sebenar dan mohon jasa baik para warganet agar dapat berkongsi kisah sebenar dan menghentikan perkongsian yang tidak benar.

Semak sebelum sebar.

Bersama kami membantu mustahiq.