Rakyat akan bangkit hukum sesiapa sahaja cuba khianati mereka – Nga Kor Ming

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming berkata, sesiapa sahaja yang cuba untuk membentuk kerajaan pintu belakang dengan apa juga alasan adalah pengkhianat besar terhadap bangsa dan negara.

“Inilah erti demokrasi,” katanya dalam ciapan di laman Twitter.

 

Beliau yang juga Speaker Dewan Rakyat berkata, satu-satunya kerajaan yang sahih adalah kerajaan yang menang di pilihan raya dan mendapat mandat dari rakyat.

“Apa saja kerajaan “pintu belakang” tanpa mandat rakyat adalah pengkhianatan besar terhadap negara dan penderhakaan terhadap rakyat.

“Jangan guna kaum atau agama sebagai alasan. Sejarah telah buktikan rakyat akan bangkit menghukum sesiapa saja yang cuba mengkhianati mereka,” katanya lagi.

Katanya, cubaan membentuk kerajaan “pintu belakang” tanpa mandat rakyat itu juga bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan tidak sah di sisi moral serta undang-undangg negara.

Malaysia, tegas beliau, adalah negara demokrasi berparlimen justeru aspirasai dan mandat rakyat wajib dihormati oleh semua pihak.

Semalam kerajaan Pakatan Harapan dikatakan hampir lumpuh apabila hilang kepercayaan dalam kalangan ahli-ahli Parlimennya sehingga menyaksikan lima parti utama iaitu PPBM, UMNO, GPS, Pas dan PKR mengadakan mesyuarat tergempar.

Malah, beberapa pemimpin juga dilaporkan mengadap Yang di-Pertuan Agong berkaitan isu pembentukan kerajaan baharu.

Satu makan malam Muafakat Nasional turut diadakan malam tadi di Hotel Sheraton Petaling Jaya tempat berlangsungnya mesyuarat yang diketuai Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Antara yang hadir adalah Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Tuan Ibrahim Tuan Man, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Tian Chua dan ramai lagi.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga menyifatakan apa yang berlaku adalah pengkhianatan kepada janji peralihan kuasa.

Beliau dilaporkan akan mengadap Yang di-Pertuan Agong petang ini.

Sumber – MalaysiaGazette

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.