Akhirnya Zamani Slam tamatkan zaman bujang di usia 48 tahun

Bekas penyanyi kumpulan Slam, Zamani Ibrahim, telah menamatkan zaman bujangnya di usia 48 tahun dalam satu majlis tertutup yang diadakan pada malam ini.

Perkara tersebut dikongsikan oleh page rasmi peminat zamanislamborneo menerusi sebuah video dikatakan sewaktu majlis pernikahan mereka.

Malah, sekeping gambar turut dimuatnaik selepas itu yang menunjukkan keberadaan Zamani di sebuah butik pengantin.

Zamani menerusi satu kenyataan yang dibuat di Instagram Zamani Ibrahim Music Entertainment (ZIME), mengesahkan perkara berkenaan dengan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan majlis pernikahan mereka pada malam ini.

Bagaimanapun, dia meminta maaf kerana tidak menjemput pihak media dan menghebahkannya lebih awal.

“Saya minta maaf kerana majlis ini dibuat secara tertutup dan hanya membabitkan keluarga kedua-dua belah pihak.

“Saya bukan menafikan peranan wartawan terhadap karier saya, tapi ini hanya majlis akad nikah dan kami akan jemput semua pihak pada majlis resepsi yang dirancang nanti,” katanya.

Zamani, 48, melangsungkan pernikahan dengan wanita pilihannya itu di Ampang, Kuala Lumpur dalam majlis ringkas yang dihadiri ahli keluarga serta kenalan terdekat.

Pada majlis tersebut pengantin perempuan menerima sebentuk cincin dan mas kahwin RM300 berserta tujuh dulang hantaran dibalas sembilan kepada pihak lelaki.

Pasangan yang sudah mengenali satu sama lain dan berkawan hampir 14 tahun itu juga bakal menunaikan ibadah umrah tidak lama lagi.

Dalam pada itu, pihak pengurusannya Zime Production memberitahu majlis resepsi pasangan tersebut bakal diadakan pada suatu tarikh yang akan diberitahu kelak.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.