Riena Diana tiru slang Inggeris King Coco dalam ‘Kampung People’ – “Tapi kalau suruh cakap macam tu 24 jam… saya pun meluat!”

BAGI menjayakan watak gadis ‘bimbo’ dalam drama Kampung People, pelakon Riena Diana berkata dia menjadikan aktres Sharifah Sakinah dan personaliti media sosial King Coco sebagai rujukan.

Menurut Riena atau nama sebenar Nur Qamarina Diana Zulreal, 22, dia menonton cara percakapan dan gerak tubuh dua personaliti tersebut menerusi Youtube bagi memastikan wataknya itu berjaya diterjemahkan dengan baik.

“Seminggu sebelum penggambaran, saya buat kajian dahulu mengenai watak gadis bernama Laila itu dan menonton cara percakapan King Coco sebagai rujukan.

“Saya tengok cara dia bercakap dan slang Inggeris yang digunakan, nak bagi nampak kelainan saya ubah sedikit cara pertuturan itu dengan menambah huruf S di belakang perkataan.

“Selain itu, saya menonton lakonan Sharifah Sakinah yang kita tahu karakter ‘gila-gila’ padanya… selepas tiga hari penggambaran, saya sudah boleh bawa karakter gadis bimbo bercakap slang bahasa Inggeris itu dengan mudah,” katanya kepada mStar.

King Coco (kiri) dan Sharifah Sakinah (kanan).

Pelakon yang dicungkil bakatnya menerusi program Drama Festival Kuala Lumpur 2017 (DFKL2017) ini berkata pada awalnya dia bimbang dengan penerimaan penonton.

Bagaimanapun, sangkaannya itu meleset apabila rata-rata penonton memberi maklum balas positif selepas menonton drama tersebut.

“Alhamdulillah ramai suka dan saya boleh kata tiada langsung yang mengecam cara pertuturan mat saleh itu, rata-ratanya terhibur dan rasa lucu dengan watak tersebut.

Pelakon utama drama Kampung People, dari kiri; Riena, Kamarul, Rashidi Ishak dan Elly Mazlein.

“Sebelum penggambaran, saya bimbang juga jika akan ada yang mengecam tapi rupanya sangkaan saya salah. Penonton suka dan terbawa-bawa dengan slang dan watak bimbo Laila itu,” ujarnya.

Sementara itu, Riena berkata laman sosialnya turut dihujani dengan pelbagai komen pengikut yang mengajuk cara percakapannya sama seperti dalam watak tersebut.

“Kalau baca komen di laman sosial, memang ramai pengikut yang menulis dengan slang tersebut… ada juga yang minta saya bercakap macam itu bila sedang live di Instagram.

Riena dan Hun Haqeem.

“Sesekali guna slang begitu bolehlah, tapi kalau suruh cakap macam tu 24 jam rasanya saya pun naik meluat nanti… rasa geram pula kan?

“Apa-apa pun saya tak marah dan anggap watak itu diterima baik penonton dan telah menghiburkan semua,” katanya.

Selain Riena, Kampung People turut dibintangi Elly Mazlein, Rashidi Ishak, Hun Haqeem, Kamarul Eqifshah, Fizz Fairuz dan Namron.

Drama arahan Wan Hasliza ini bersiaran di slot Lestary (TV3) setiap hari Rabu hingga Jumaat pukul 9 malam.

Sumber: mstar

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.