To’ki Akhirnya Dibantu Ebit Lew, Tiada yang Lebih Indah Melihat Kasih dan Sayang Mereka Berdua

Kepada sebilangan orang, makna kebahagiaan barangkali terletak pada kekayaan yang dimiliki.

Tinggal di kediaman besar, memandu kereta mewah dan menikmati gaya hidup sofistikated merupakan harga sebuah kepuasan kepada mereka.

Namun, bagi segelintir orang pula, dapat berteduh di sebuah pondok kecil sudah cukup membahagiakan mereka.

Sekalipun, berlindung di pondok kecil, itu bukan alasan kenapa artis terkenal, To’ki atau nama sebenarnya, Mohd Zaki Mansur tidak boleh mengecap kebahagiaan.

Sejak lebih setahun lalu, pondok kecil di pinggir hutan di Batu 12 Gombak, Selangor menjadi tempat berteduh buat penyanyi yang pernah mengecap populariti menerusi lagu Biasan dan Seni Berzaman itu.

Tidak pernah mengeluh, jauh sekali menyesali ketentuan takdir, To’ki, 53, yang setia ditemani isteri tercinta, Sharifah Fairuz Syed Yusof, 48, bersyukur kerana masih memiliki tempat berlindung.

“Saya bina pondok ini sejak tiga tahun lalu lagi sebenarnya (tetapi) duduk sini dalam setahun lebih.

“Walaupun nampak macam ini (serba kekurangan) tetapi saya damai bersama isteri,” kata To’ki berkongsi cerita mengenai fasa hidup yang sedang dilaluinya.

Ebit Lew Sebak Lihat Keadaan Rumah To’ki

Sebak sayu tadi ziarah To’ki. Ramai tag saya di fb berita ini. Saya terus ke sana.

Sampai je dah berdebar kata Allah ke dalam juga ini. Sekali sampai pondok ini ini dah setahun To’ki tinggal bersama isterinya yang sakit.

To’ki khidmat jaga dan uruskan isteri kerana isteri tak boleh bergerak sangat.

Dari jauh To’ki terus sambut saya dan terus peluk saya. Tak sempat nak cakap apa-apa.

Macam dah lama kenal. Terus To’ki kata kenapa ustaz buat semua ini. Kebaikan pada semua orang tanpa harap balasan. Allah sayang ustaz.

InsyaAllah akan bantu untuk tangki dan water pump air sungai dan bilik air.

Saya hadiahkan juga peti ais dan mesin basuh. Dari live kami tadi InsyaAllah Hj Hamid dari Kulim akan beri kayu pain untuk buat rumah cantik-cantik.

Syukur dapat berkongsi ilmu dan berkasih sayang.

To’ki Redha Dengan Ujian yg Menimpa

Namun begitu, To’ki mengakui kediaman yang diduduki itu sangat tidak sempurna dan perlu ditambah baik,

Tetapi, tegasnya, apa kudrat yang ada padanya memandangkan untuk mengubahsuai pondok itu memerlukan kos dan semua itu tidak berada dalam radar kemampuannya.

Percaya atau tidak, bekalan air harus diangkut sendiri oleh To’ki dari sungai berdekatan.

Bahkan, untuk menyelesaikan ‘hajat’ juga terpaksa ke sungai memandangkan pondok kediaman itu tidak memiliki tandas.

“Nak buat macam mana ini sahaja yang termampu,” luah To’ki dalam nada suara yang lemah.

Sudahlah diuji dengan kehidupan serba sulit, dugaan tambah berganda buat To’ki apabila pergerakan isterinya terbatas kerana mengalami patah tulang pinggul akibat kemalangan yang dialaminya 10 Jun lalu.

“Paling sukar bila tiap kali nak turun atau naik sebab (tanah) curam. Kalau saya naik kerusi roda sekurang-kurangnya perlu tiga orang (untuk bantu) tolak.

“Memang sukar keadaan masa ini, namun saya dan To’ki terima nasib kami. Saya kena sesuaikan diri saya. Itu sahaja yang kami mampu,” celah Sharifah Fairuz pula.

Tambah To’ki, sekiranya ada rezeki, dia mahu mengusahakan pemasangan paip bagi membolehkan bekalan air dipam dari sungai berdekatan ke kediamannya bagi memudahkan urusan kehidupan harian.

“Kalau ada bajet saya nak tarik (pam) air dari sungai ke sini (kediaman) selain tangki air dan tandas, selagi tidak ada semua itu, kami terpaksa turun (ke sungai),” kata To’ki menyuarakan keinginanya.

2 Trackbacks / Pingbacks

  1. To’ki Akhirnya Dibantu Ebit Lew, Tiada yang Lebih Indah Melihat Kasih dan Sayang Mereka Berdua - Oh My News
  2. To’ki Akhirnya Dibantu Ebit Lew, Tiada yang Lebih Indah Melihat Kasih dan Sayang Mereka Berdua - Oh My News

Comments are closed.